I made this widget at MyFlashFetish.com.

Friday, May 25, 2012

Mengapa Terus Setia Walaupun Tidak Puas?



Sebenarnya ramai orang yang tidak puas hati dengan pasangan mereka dan dengan perhubungan mereka sebagai suami isteri, tetapi mereka itu mengambil sikap pasif, iaitu tidak melakukan apa-apa untuk menghilangkan rasa tidak puas hati mereka.

Tingkah-laku pasif di dalam perkahwinan sebenarnya bersifat membina. Ditinjau daripada satu sudut, tingkah-laku pasif adalah baik untuk mengekalkan perkahwinan.

Kajian mendapati tingkah-laku pasif lazimnya digunakan oleh individu-individu tertentu.
Golongan pertama yang bersikap pasif walaupun tidak puas hati ialah mereka yang berpendapat masalah yang menyebabkan hatinya tidak puas adalah masalah yang kecil-kecil, remeh-temeh dan tidak membahayakan perkahwinan mereka. Oleh itu walaupun mereka tidak puas hati, mereka tidak mahu mengakhiri perkahwinan mereka, sebaliknya mereka terus setia. Sebagai contoh, perbuatan isteri suka berleter menyebabkan lelaki berasa tidak puas hati, tetapi disebabkan mereka anggap masalah itu masalah kecil, jadi mereka diam sahaja.

Golongan kedua ialah mereka yang tidak puas hati, tetapi pada pendapatnya dia masih boleh tahan lagi kerana dia tidaklah terlalu tidak puas hati. Oleh sebab dia masih boleh bertahan, maka mereka tidak terlalu terdorong hendak melakukan sebarang tindakan yang membahayakan perkahwinannya.

Golongan ketiga ialah mereka yang tidak mempunyai pilihan-pilihan lain yang lebih menarik. Disebabkan hal itu mereka cenderung terus setia walaupun tidak puas hati.

Kebanyakan individu terus bertahan dengan keadaan yang tidak memuaskan hati mereka semata-mata kerana mereka tidak mempunyai pilihan lain yang lebih baik.

Apabila mereka mempunyai pilihan lain, mereka lebih terdorong mengambil langkah keluar daripada keadaan itu. Mereka mungkin mengambil keputusan berpisah dan membina hubungan baru dengan pasangan lain. Satu lagi kemungkinan ialah mereka menjalin hubungan sulit. Di kalangan wanita, majoriti terus setia kepada pasangan kerana mereka percaya mereka tidak mempunyai pilihan lain yang lebih baik.

Golongan keempat ialah mereka yang menganggap mereka sudah terlalu banyak melabur di dalam perkahwinannya sekarang. Sebagai contoh, hubungan itu sudah sangat lama terjalin, umpamanya mereka sudah berkahwin selama 15 tahun, ataupun mereka sudah mempunyai ramai anak. Oleh hal yang demikian, meskipun mereka tidak puas hati dengan perkahwinan sekarang, meskipun mereka mungkin mempunyai peluang mencari pilihan-pilihan lain yang lebih baik, tetapi mereka mungkin tidak mahu bercerai kerana tidak sanggup berasa bahawa masa 15 tahun itu akan terbuang sia-sia sahaja, ataupun disebabkan mereka tidak mahu terpisah dengan anak-anak. Ramai lelaki yang mempunyai pilihan-pilihan lain yang lebih baik tetapi mereka itu terus setia disebabkan faktor ini.

Di dalam keadaan-keadaan seperti di atas, walaupun hati individu-individu itu tidak puas, mereka hanya terus mempertahankan kesetiaan mereka. Meskipun tidak puas hati tetapi mereka percaya keadaan akan berubah satu hari nanti. Tujuan utama mereka meneruskan kesetiaan ialah hendak menjaga status-quo, iaitu menjaga supaya hubungan itu kekal. Oleh hal yang demikian, mereka terus memikul tanggungjawab mereka dengan sebaik-baiknya dengan kepercayaan situasi akan berubah. Oleh itu mereka menunggu sahaja dengan penuh harapan dan berdoa mudah-mudahan masa akan mengubah keadaan.

Ada kalanya, individu yang tidak puas hati akan membiarkan sahaja keadaan rumahtangganya bertambah buruk. Tingkah-laku ini adalah tingkah-laku pasif yang amat membahayakan perhubungan. Di sini individu yang tidak puas hati itu membiarkan sahaja hubungannya bertambah lama bertambah buruk. Kajian menunjukkan individu-individu yang menggunakan tingkah-laku ini terdiri daripada:

a. Tidak puas hati dari mula
Mereka dalam golongan ini daripada awal-awal lagi sudah berasa tidak puas hati. Golongan seperti ini cenderung membiarkan sahaja hubungannya bertambah buruk. Contoh mereka yang tidak puas hati dari mula ialah individu-individu yang berasa dirinya semacam ‘dipaksa-paksa’ ataupun didesak-desak oleh pasangannya supaya menjalin hubungan itu. Mereka lazimnya sejak dari mula sudah mempunyai rasa tidak puas hati. Apabila berdepan dengan masalah, golongan ini tidak mempunyai motivasi tinggi untuk berusaha memperbaiki keadaan.

b. Sudah lama tidak puas hati
Mereka dalam golongan ini sudah lama berasa tidak puas hati juga cenderung membiarkan sahaja hubungan itu bertambah buruk. Ramai individu yang pada mulanya puas hati tetapi kemudian disebabkan oleh pelbagai faktor, mereka memendam rasa tidak puas hati yang sudah sangat lama. Golongan jenis ini sudah putus asa dan mereka yakin sebarang usaha cuma menghasilkan kegagalan serta sia-sia sahaja hendak memperbaiki keadaan.

c. Tidak banyak pelaburan
Mereka dalam golongan ini tidak banyak melabur ke dalam perhubungan mereka, oleh itu mereka cenderung membiarkan sahaja hubungan mereka bertambah buruk. Contoh hubungan yang tidak memerlukan banyak pelaburan ialah hubungan romantik yang masih baru, hubungan sulit dengan pasangan lain dan hubungan yang diasaskan pada pelbagai jenis kepentingan tidak murni seperti wang dan seks. Oleh kerana pelaburan mereka tidak banyak, kerugian mereka juga tidak banyak, akibatnya mereka tidak mempunyai motivasi yang kuat untuk menyelamatkan keadaan.

Antara tingkah-laku membiarkan sahaja sehingga sesuatu hubungan itu menjadi bertambah buruk ialah mengurangkan masa untuk bersama dengan pasangan, tidak pedulikan pasangan, tidak mahu membincangkan masalah, memberi layanan buruk pada pasangan, dan sengaja membiarkan situasi buruk tambah buruk.

Ada di antara mereka yang tidak puas hati mengambil tindakan melepaskan diri daripada keadaan itu. Tingkah-laku ini adalah tingkah-laku aktif. Tingkah-laku jenis ini amat membahayakan hubungan, di mana individu yang tidak puas hati itu sengaja mengambil langkah-langkah untuk keluar daripada hubungan yang tidak memuaskan hatinya.

Antara tingkah-laku aktif untuk lari keluar daripada hubungan yang tidak memuaskan hati termasuklah tindakan berpisah, bercerai, menjalin hubungan dengan pasangan lain serta keluar rumah dan tinggal berasingan ataupun berpoligami. Individu-individu yang cenderung menggunakan tingkah-laku ini ialah:

a. Tidak banyak pelaburan
Mereka yang tidak banyak pelaburan di dalam hubungan itu, apabila mereka tidak puas hati, mereka cenderung menamatkan sahaja hubungan itu. Oleh kerana pelaburan mereka tidak banyak, kerugian mereka juga tidak banyak. Sebagai contoh ialah hubungan sulit antara wanita dengan lelaki yang sudah beristeri. Sebuah kajian yang pernah dibuat di Britain mendapati 95 peratus hubungan sulit jenis ini berakhir tanpa perkahwinan.

b. Tidak banyak kerugian
Mereka yang tidak banyak menanggung kerugian sekiranya hubungan itu ditamatkan, apabila mereka tidak puas hati mereka juga cenderung mengakhiri hubungan tersebut. Contoh mereka yang tidak banyak menanggung kerugian ialah individu yang tahu dirinya mempunyai banyak daya tarikan, oleh itu mereka mempunyai banyak pilihan alternatif. Begitu juga mereka yang pasangannya tidak mempunyai banyak keistimewaan yang amat diperlukannya. Ataupun mereka yang hubungannya itu masih baru dan belum diketahui ramai.

c. Mempunyai pilihan lain
Mereka yang pilihan lain yang lebih memuaskan, apabila perlu, mereka cenderung menamatkan hubungan yang ada. Untuk menamatkan hubungan itu mereka tidak perlu tidak puas hati. Adalah dijangka kebanyakan kes poligami berlaku kerana adanya pilihan lain, tanpa mengira sama ada lelaki itu puas hati ataupun tidak puas hati dengan pasangannya sekarang. Di kalangan mereka yang berasa hubungannya sekarang adalah ‘patut-patut’ pun terdorong menamatkan hubungan yang ada apabila di depan mereka terdapat pilihan-pilihan lain yang pada anggapan mereka menjanjikan sesuatu yang lebih baik lagi. Inilah faktor yang menyebabkan sesetengah individu sanggup berpoligami ataupun meninggalkan pasangannya sekarang, walaupun pasangannya yang sekarang dikatakan ‘baik’ dan ‘tidak berdosa’ demi memulakan hubungan baru dengan pasangan lain yang dianggap ‘lebih baik’. Di kalangan mereka yang amat tidak puas hati pula, walaupun individu itu sudah banyak melabur dan mereka tahu mereka akan menanggung banyak kerugian, tetapi apabila dia mempunyai pilihan lain maka dia terdorong untuk menamatkan hubungan yang tidak memuaskan dan memulakan hubungan baru yang pada anggapannya akan membawa kepuasan. Statistik menunjukkan majoriti kes rujuk berlaku di kalangan pasangan yang masing-masing tidak mempunyai pilihan lain. Manakala statistik menunjukkan di kalangan lelaki yang sudah berpoligami, apabila mereka bercerai dengan isteri pertama, majoriti tidak rujuk semula.

d. Amat tidak puas
Mereka yang amat tidak puas hati dan amat tidak bahagia cenderung mengambil tindakan ini walaupun mereka tidak mempunyai sebarang pilihan lain kerana mereka sudah bersedia menanggung semua bentuk kerugian akibat tindakan itu. Ramai wanita memilih perceraian walaupun mereka tahu mereka tidak mempunyai peluang mendapat suami lain. Keputusan itu diambil hanya kerana mereka itu tidak sanggup lagi terus terseksa di dalam perkahwinannya. Manakala di kalangan lelaki-lelaki yang dikatakan kononnya tiba-tiba ‘hilang lesap’, majoriti adalah terdiri daripada mereka yang amat tidak puas hati dan mereka itu sudah sanggup kehilangan segala-galanya termasuk anak-anak sekali.

Di kalangan kelas masyarakat yang makmur dan diizinkan pula mengamalkan poligami, nampaknya faktor yang amat perlu diberi perhatian oleh kaum isteri ialah faktor kehadiran pilihan lain.

Teori perbandingan sosial mengatakan kehadiran pilihan-pilihan yang ‘lebih baik’ sangat mempengaruhi respons seseorang yang tidak puas hati, tanpa mengira sama ada rasa tidak puas hati itu kecil sahaja mahupun sangat serius. Apabila seseorang itu tidak mempunyai pilihan lain, walaupun dia sangat tidak puas hati, dia tidak ke mana-mana kerana keadaan tidak memberi peluang kepada lelaki itu untuk membuat pilihan. Sebaliknya, kalau lelaki itu puas hati sekalipun, apabila di depannya terdapat pilihan yang menjanjikan kepuasan yang lebih baik, dia terdorong membuat pilihan itu.

Nampaknya, untuk mencegah lelaki daripada menjalin perhubungan lain, tidak cukup jika seseorang wanita hanya menjadi pasangan yang baik. Nampaknya, teori ini mengatakan setakat menjadi pasangan yang ‘baik’ masih belum ‘cukup baik’. Teori ini mengatakan wanita hanya mempunyai satu pilihan sahaja, iaitu menjadi pasangan yang amat diperlukan.

No comments:

Post a Comment