I made this widget at MyFlashFetish.com.

Thursday, May 19, 2011

Cinta Semanis Cadbury

Kategori: Cerpen
BAB 1

Ruang utama makin sesak jadinya. Entah kenapa hatinya makin berdebar-denar untuk melangkah menghampiri seseorang yang setia menantinya. Terasa seakan dirinya diperhatikan oleh seseorang. Namun, matanya tidak langsung meliar ke serata tempat. Gerak langkahnya makin perlahan dan perlahan.
Arghh, aku datang sini bukan nak fikir yang bukan-bukan. Aku datang sini nak raikan kejayaan aku! Aisyah meredakan perasaannya sendiri.
“Kau boleh cepat sikit tak? Nanti tiket habis. Kau ingat senang ke nak datang sini?” Kedengaran suara sahabatnya lantang memanggilnya. Tidak langsung mempedulikan pada orang ramai yang sesekali menjeling ke arah dirinya dan juga sahabatnya.
Aisyah sudah menggeleng kepala berkali-kali. Sabar saja dengan gelagat sahabat baiknya itu. Terus perasaan tidak menyenangkan hilang begitu saja.
“Syah, cepatlah. Macam kura-kura aku tengok kau jalan”, marah Zura dengan tangan sudah mencekak di pinggang.
Aisyah mendengus geram. Pantang betul diejek kura-kura! Dengan hati yang terbakar, dia melajukan hayunan langkah kaki. Tidak kisah lagi jika kakinya terpelecot kerana memakai heel. Namun, sebaik saja tinggal beberapa tapak dia akan berhenti di hadapan Zura, tiba-tiba…
Arghhh!!!!
Hampir juga tubuhnya terjatuh. Namun, tangannya sempat berpaut pada lengan seorang lelaki yang melanggarnya. Eh, bukan, pembetulan. Dia yang bersalah! Berjalan tanpa melihat kiri dan kanan. Dengan pantas juga, dia melepaskan pegangannya pada lengan lelaki itu.
“Ma…maaf…tak sengaja”, pohon Aisyah gugup. Ditambah pula dengan keadaannya yang sudah menggelabah beruk. Makin kelu lidahnya untuk menutur apabila lelaki itu merenungnya tanpa berkedip.
“Syah, kau okey?”
Aisyah tersentak. Pandangannya bersilih ganti memandang Zura dan juga lelaki sasa di hadapannya.
“Syah…”, panggil Zura menekankan suaranya.
Lagi sekali Aisyah tersentak. Tanpa sedar, dia menarik tangan sahabatnya. Sungguh, perasaannya berdebar-debar tika membalas pandangan lelaki yang tidak diketahui nama. Satu perasaan yang sukar digambarkan hadir dalam dirinya.
Ishkk, tak boleh jadi ni. nanti, tak khusyuk aku tengok citer hantu. Tenang Aisyah. Kau buat je tak ada apa-apa berlaku. Jangan risaukan sangat hati kau tu. Tak perlu teringatkan lelaki tu! Akalnya berbicara dengan sendiri. Eh, sempat lagi dia bermonolog sendirian. Hehehehe….
*****
“Kau rasa, gempak cerita ni?”, soal Zura sebaik saja mengambil tempat kosong.
“Aisyah mengangguk laju. “Mestilah best. Dah nama pun KRU tu”, balas Aisyah bersungguh-sungguh. Memang penyokong filem tempatan!
“Kau ni, memang penyokong setia….”
“Syhh, dah mula. Diamlah”, potong Aisyah meletak jari telunjuk pada bibirnya.
Zura sudah mula mencebik bibir. Keadaan yang terang sudah menjadi suram. Entah kenapa hati Aisyah terasa berdebar-debar tika ini. Seolah-olah ada sesuatu yang akan berlaku. Hah, akalnya menerjah peristiwa yang berlaku sebentar tadi. Ishk, wahailah hati, jangan kau nak buat andaian macam-macam pulak! Desis hati kecilnya sudah bergetar hebat tatkala….
“Hai, nak coklat?”
Aisyah tersentak biarpun suara yang menyapanya itu dalam keadaan berbisik. Aisyah sudah menelan liur. Lambat-lambat dia berpaling memandang gerangan yang menyapanya. Terus membulat matanya melihat lelaki ‘itu’! Membutang terus matanya kala ini.
“Nak tak?”, soal lelaki itu lalu menayangkan coklat cadbury yang berada di tangannya.
Aisyah terkedu. Bukan coklat yang difokusnya saat ini. Malah, senyuman dan wajah lelaki itu yang membuatkan matanya terpana dan tubuhnya kaku serta merta. Peluh dingin mula merenik di dahi. Keadaan yang sejuk serasa menjadi bahang tiba-tiba. Ya Allah, kenapa dengan aku ni? Kenapa dia buat aku tak tenang? Aisyah gelisah.
“Awak okey?”, soal lelaki yang masih belum diketahui namanya.
Aisyah pantas mengalihkan wajahnya pada Zura. Ternyata, sahabatnya itu tidak langsung perasaan akan kejadian ‘ini’. Ishk, khusyuklah pulak si Zura ni. Desis hati kecilnya.
“Nama saya Fairuz. Nak coklat ni?” Sekali lagi dia mempromosikan coklat cadbury.
Aisyah diam. menggeleng pun tidak, mengangguk pun tidak. Kepala dan matanya hanya terpaku pada skrin besar saja. Fikirannya masih memikirkan lelaki yang bernama Fairuz. Bukan pada penceritaan yang ditayangkan.
“Sedap tau coklat ni. Ada rasa manis”, ujar Fairuz terus mengunyah. Senyuman makin lebar terlakar pada bibirnya.
Aisyah mencebik. “Eleh, nak mengayatlah tu. Ingat aku tak tahu”, gumam Aisyah jelek dengan sikap Fairuz. Tiba-tiba perasaan yang satu itu hilang. Yang muncul hanyalah perasaan geram. Ya, akalnya dapat mengatasi dirinya sekarang!
“Hah, awak kata apa?”, soal Fairuz mendekatkan sikit wajahnya pada Aisyah.
“Hei…” Ayatnya terputus apabila wajah Fairuz seakan makin hampir padanya. Ini dah melampau. Apa kes mamat ni. Aku sepak nanti baru tahu! Hati kecilnya mendongkol marah.
“Nak?” Fairuz menghulurkan coklat cadbury pada Aisyah. Tidak putus-putus berusaha memikat si gadis manis ini.
Aisyah diam. Dia melarikan wajahnya. Perasaan yang tidak senang kembali menjelma. Pertama kali dalam hidupnya mengalami perasaan yang sukar ditafsirkan. Bukannya dia tidak ada teman lelaki. Memang dia sudah berpunya sekarang. Namun, perasaannya pada Zarif tidak seperti kali pertama dia bertentang mata dengan Fairuz. Ya, lelaki yang baru saja dikenali tidak sampai 1 jam mahupun satu hari!
Aisyah mengalihkan pandangan pada lelaki itu. Dilihatnya Fairuz sedang berbual di telefon. Patutlah diam. Layan telefon rupanya. Entah perempuan ke berapalah dia berborak tu. Nyampah! Aisyah mula mengomel. Tanpa sedar, perasaan cemburunya bertandang.
“Eh, takkan aku nak cemburu pulak. Ishk, tak fahamlah aku”, gumam Aisyah terus-terusan mata memandang depan. Sudahlah dia tidak fokus pada jalan cerita. Membazir saja namanya!
“Awak cakap apa?”
“Hah?” Aisyah tersentak. Dia dengar ke?
“Okeylah awak. Saya nak balik dulu. Saya hadiahkan awak coklat ni. Selamat berkenalan”, tutur Fairuz meletakkan coklat cadbury di paha Aisyah. Dia terus berlalu.
Aisyah terkesima. Tidak menduga langsung perbuatan Fairuz. Pertama kali dalam hidupnya dia mengenali lelaki seperti itu!
*****
“Kau kenapa Syah? Aku rasa tv yang tengok kau. Bukan kau yang tengok tv. Kau ada masalah ke?” Zura mula mengambil tempat bersebelahan dengan Aisyah.
Aisyah mengeluh kecil. Dia terus-terusan memandang siaran di kaca tv. Tidak sedikit pun berjaya menarik minatnya.
“Woi, kau okey ke tak ni?” Lantang sekali suara Zura bertanya. Siap menggoncang lagi bahunya.
Aisyah mendengus geram. “Kau ni kan, suka sangat cakap kuat-kuat. Aku bukannya pekak lagi. Bagilah aku cool sikit. Nak tanya pun agak-agaklah kawan”, marah Aisyah. Sabarnya mula menipis.
Zura ketawa kecil. “Lawaklah muka kau kalau marah. Marah, tapi tak macam marah. Cuba kau marah betul-betul. barulah aku takut beb”, seloroh Zura sudah ketawa geli hati.
Aisyah yang mendengar makin geram. Kulit wajahnya yang putih sudah kemerah-merahan.
“Oppsss, sorry Syah. Aku gurau je la. Tapi, apa yang aku cakap ni adalah kenyataan tau. Eh, ada coklat cadbury. Bila kau beli? Nak lah. Aku ambil eak?” Pantas juga tangan Zura mencapai cadbury yang berada di atas meja.
“Eh minah ni, cubalah control sikit perangai tu. Kepohlah kau ni, Zura. Macam manalah si Afiq tu boleh tahan dengan perangai kau”, tegur Aisyah sudah menggeleng kepala berkali-kali.
Zura mengangkat keningnya. Malas mahu mempedulikan teguran Aisyah.
“Ikut suka kaulah Zura. Malas aku nak nasihat. Kau buat dek je. Hampeh betul kawan aku ni”, ujar Aisyah perlahan. Fikirannya tidak lepas daripada memikirkan Fairuz. Ya, sebaris nama yang boleh membuatkan dia ingat sampai bila-bila. Dan sebaris senyuman yang boleh menggetarkan hatinya.
Aisyah binggung….

BAB 2

Aisyah sudah kelam kabut berlari masuk ke dalam lobi. Ya Allah, aku dah lewat ni. Pasal Fairuz la ni aku lewat. Tak sukalah laki tu. Yang aku pun satu, kenapalah aku asyik teringatkan dia pulak? Pasal aku teringatkan dialah, aku tak boleh tidur. Kalaulah Zarif tahu aku teringatkan laki lain, mampus aku! Sempat lagi dia mengomel seorang diri.
Sebaik saja tubuhnya baru melepasi pintu lif, terasa seakan tubuhnya hampir terdorong ke belakang. Aisyah tersentak. Buat kali kedua tubuhnya hampir terjatuh. Kali ini, bukan salahnya! Dia sempat berpaut pada seseorang. Sepantas itu juga matanya memandang ke arah lelaki itu.
Hah???
Aisyah terkedu seketika. Namun, wajahnya yang terkejut bertukar menjadi marah dan geram. Tangannya yang berpaut pada lengan lelaki itu, terus dilepaskan dengan kasar.
“Encik ni kenapa? Tahu tak saya dah lewat nak masuk kerja? Semuanya pasal enciklah. Eh, kalau hidup tak menyusahkan orang tak boleh ke?”, marah Aisyah menjegil matanya.
Fairuz sudah tersenyum kecil. “Awak kerja kat sini ke?”, soal Fairuz tenang. Matanya seakan bercahaya.
Aisyah merengus geram. Nafasnya dihembus dengan kasar. “Tak ada masa saya nak layan encik. Assalammualaikum”, balas Aisyah terus menekan punat lif. Hah, kan dah membazir masa!
“Best tak kerja kat sini? Gaji okey tak?”, soal Fairuz dengan senyuman tidak lekang dari bibir.
Aisyah yang mendengar terasa hendak muntah jadinya. “Eh, awak siapa? Nak soal-soal….” Kata-kata Aisyah terhenti tatkala satu suara menyapa.
“Aisyah, kenapa ni?”
Sudah! Mati aku macam ni. Dia berusaha memberi senyuman buat Datuk Rashid. “Maaf datuk. Saya lewat hari ni”, ujar Aisyah berusaha menenangkan diri. Bukannya dia tidak tahu dengan prinsip Datuk Rashid yang tidak suka pekerjanya lewat.
“Tak apa. Hah Fairuz, jom”, ajak Datuk Rashid berlalu bersama Fairuz.
Aisyah melihat dengan pandangan yang sukar ditafsirkan. “Macam mana datuk boleh kenal Fairuz? Eh, jangan cakap Fairuz kerja kat sini? Kalau betul, meninggal aku nak layan mamat tu. Yang aku pun satu, boleh cakap seorang diri macam orang gila je” Aisyah menepuk dahinya lalu ketawa kecil.
*****
“Assalammualaikum semua”, ucap Datuk Rashid pada semua pekerja. Masing-masing menjawab salam Datuk Rashid dengan penuh hormat.
“Saya akan bersara mulai hari esok. Jadi, saya nak kenalkan Mohd Fairuz Hafiz kepada kamu semua. Dia yang akan menggantikan tempat saya nanti”, ujar Datuk Rashid tenang.
“Assalammualaikum, saya harap semua dapat beri kerjasama”, celah Fairuz entah dari mana muncul.
Aisyah tersentak mendengar suara itu. Pantas dia mendongak kepala memandang ke arah suara itu. terkebil-kebil matanya memandang Fairuz. Macam biasa, lelaki itu akan tersenyum. Menyampah!
“Kalau tak ada apa-apa, semua boleh sambung kerja semula. Fairuz, ikut papa masuk bilik”, ujar Datuk Rashid tegas.
Gerak langkah Fairuz dipandang Aisyah. Dia sudah terdiam. Tidak tahu apa yang bermain-main dalam mindanya. Otaknya kosong! Tidak mampu berfikir apa-apa buat masa ini. Lambat-lambat dia menarik nafas lalu dihembuskan dengan perlahan.
Hmm, tak jadi kerja aku macam ni. Dahlah aku baru kerja kat sini. Tak pasal-pasal, aku kena pecat pulak. Ishk, Fairuz ni. Pergilah jauh-jauh dari hidup aku. Cuh, cuh…seloroh Aisyah dalam diam. Bibirnya menguntum senyuman kecil. Berkali-kali dia menggeleng kepala.
*****
“Assalammualaikum, awak tunggu siapa?”, sapa Fairuz dengan pertanyaan.
Aisyah mengangkat kening. “Waalaikumussalam. Perlu ke saya jawab pertanyaan bos?”, tanya Aisyah dalam nada yang tegas.
Fairuz tersenyum lebar. “Kalau awak tak kisah, jawablah. Kalau ia mengganggu awak, rasanya tak perlulah”, balas Fairuz tenang.
Tersenyum sinis Aisyah mendengar jawapan dari mulut lelaki itu. “Saya tunggu pakwe saya. Kenapa?”, soal Aisyah berterus terang. Memang dia sedang menunggu Zarif.
Fairuz tersentak. Namun, dia berusaha mengawal riak wajahnya. Tidak mahu Aisyah melihat riak kecewa pada wajahnya. “Owh, baguslah. Agak-agaknya, bila boleh makan nasi minyak? Tiba-tiba saya dah terbau nasi minyak kat sini”, seloroh Fairuz mengundang ketawa Aisyah. Dia turut ketawa. Ya, ketawa penuh kepura-puraan.
“Insyaallah dalam tahun ni juga. Kalau saya dah comfirm nanti, saya akan bagi kad jemputan kat bos”, balas Aisyah makin selesa berbual dengan Fairuz. Sangkanya Fairuz seorang lelaki miang. Silap pula sangkaannya. Itulah, jangan main serkap jarang je. Kan dah dapat dosa!
Ooh Soley Soley
Soley Soley
Soley Soley
Ooh Soley Soley (Soley-ley)
Soley Soley (Soley-ley)
Soley Soley
Ringtone Aisyah menjerit-jerit untuk diangkat. Hampir terjojol biji mata Fairuz mendengar ringtone Aisyah. Dia berusaha menahan tawa. Mana tidaknya, kotak fikirannya terus teringatkan Johan Raja Lawak dan juga Usop wilcha yang berlakon dalam Hantu Kak Limah Balik Rumah. Kelakarlah pula bila mengingati filem itu.
“Apa awak gelak-gelak? Saya sokong filem tempatan tahu tak”, marah Aisyah mula malu.
“Eh, dah habis cakap? Cepatnya awak cakap. Pakwe awak tak datang lagi ke? Dah pukul berapa dah ni”, tutur Fairuz menukar topik. Tidak mahu Aisyah terasa dengannya. Uniklah gadis ni! Desis hati kecilnya.
“Hmm, dia kena balik lambat. Jadi, tak dapatlah dia datang ambil saya. Awak pula kenapa? Tunggu awek datang ambil pulak ke?” Aisyah cuba berjenaka untuk menutup rasa malunya. Selalunya dia silent phone. Tidak sangka pula dia terlupa. Hehehe….
Fairuz ketawa besar. “Macam-macamlah awak ni. Biar saya tumpangkan awak balik. Dah pukul 6 lebih dah ni. Tak elok perempuan balik naik teksi. Kalau jadi apa-apa kat awak, siapa nak jadi setiausaha saya nanti?”, balas Fairuz sesekali mengerling jam dipergelangan tangan.
“Eh, tak apa. Menyusahkan awak je. Saya balik naik teksi saja”, tolak Aisyah mula serba salah.
“Mana ada susah. Pahala tu tolong orang tahu tak”, tukas Fairuz berusaha mahu menolong Aisyah.
“Tapi…”
“Tak ada tapi-tapi. Jom, saya hantarkan Cik Aisyah balik”, cantas Fairuz terus menarik lengan Aisyah.
Huh, nasib baik aku pakai baju kurung. Ishk, agak-agaklah bos aku ni pun. Main tarik-tarik pula.
“Hmm, kalau nak tolong pun, tak perlulah awak tarik saya”, perli Aisyah menjeling tajam.
“Opss, sorry” Fairuz malu dengan sikapnya. Dalam hati sudah berbunga-bunga. Dengan harapan agar Aisyah menjadi miliknya!

BAB 3

Rutin harian Aisyah berjalan seperti biasa. Cuma, hari ini dia akan pulang lewat. Itupun kerana menemani Fairuz meeting. Sepatutnya, bukan tugasnya untuk teman meneman. Dia hanya diam saja di sebelah Fairuz. Meeting berjalan dengan lancar. Namun, hatinya mula gelisah. Sudahlah dia berjanji dengan Zarif untuk makan malam bersama. Aduh, macam mana ni? Dah lewat sangat ni. Phone aku dahlah ada dalam kereta si mamat ni.
Riak wajah yang gelisah makin beransur tenang tatkala Fairuz bersalaman dengan client. Pantas juga Aisyah bangun dari duduk.
“Awak okey tak ni? Saya tengok dah macam ayam berak kapur je” Fairuz menggaru-garu dagunya yang tidak gatal.
Aisyah tersentak. Dia perasan ke?
“Jom, kita pergi makan dulu. Lepas tu, saya hantar awak balik rumah”, ujar Fairuz sudah merangka rancangan.
“Eh, tak apa. Saya sebenarnya dah ada janji temu malam ni. Takut Zarif tertunggu-tunggu pula”, balas Aisyah dengan lembut dia menolak pelawaan Fairuz.
“Siapa Zarif?” Kening Fairuz mula berkerut-kerut.
“Pakwe saya”, balas Aisyah lalu menundukkan wajah.
Fairuz terdiam. Terasa pedih benar hatinya tika ini. “Marilah saya hantarkan awak. Nanti, tertunggu-tunggu pulak Zarif”, ujar Fairuz perlahan.
Aisyah sudah terpinga-pinga. Dia mahu menolak pertolongan Fairuz. Sudahlah dia menolak pelawaan makan malam bersama Fairuz. Inikan pula, Fairuz mahu menolongnya. Terasa dirinya menyusahkan Fairuz saja. Dia mahu menghalang. Namun, suaranya serasa tidak terkeluar.
“Dah berapa lama awak kenal Zarif?” Fairuz tenang memandu.
“Masa study lagi”, balas Aisyah pendek. Entah kenapa hatinya terasa tidak senang. Seakan ada perkara buruk yang akan berlaku.
“Awak percayakan pada takdir?”, soal Fairuz berusaha tenang.
“Maksud awak?” Aisyah makin tidak mengerti dengan pertanyaan yang dilontarkan oleh Fairuz.
Hanya senyuman saja yang menghiasi bibir Fairuz. “Andai kata jodoh awak dengan orang lain macam mana?”, soal Fairuz sengaja menduga Aisyah.
Aisyah terdiam. “Entah. Mungkin, saya akan redha je. Kenapa tanya?” Aisyah memandang Fairuz dengan wajah yang penuh tanda tanya.
Fairuz memulas stereng lalu kereta diberhenti dalam keadaan mengejut. Aisyah tersentak dengan tindakan Fairuz. Hampir luruh jantungnya dengan perbuatan Fairuz. Sudahlah kawasan yang Fairuz berhenti sangat gelap dan sunyi. Ya Allah, lindungilah aku. Doa Aisyah dalam hati.
“A…aw…awak…kenapa ni?” Suara Aisyah sudah gugup.
“Saya cintakan awak”, luah Fairuz lalu melepas nafas perlahan-lahan.
Aisyah menelan liur. Kelat!
“Saya suka awak masa dalam U lagi. Saya selalu perhatikan awak dari jauh Syah. Saya cemburu awak dengan Zarif. Saya sayangkan awak Aisyah”, luah Fairuz perlahan. Wajahnya diraup berkali-kali.
“Tapi…”
“Saya cintakan awak Syah”, luah Fairuz buat kesekian kali.
“Saya…”
Tuk, tuk, tuk…
Aisyah tersentak. Dia kehilangan kata-kata pabila terpandang beberapa orang berkopiah mengetuk cermin kereta milik Fairuz. Nafasnya mula turun naik. Dia memandang wajah Fairuz. Kolam matanya sudah berair. Bibirnya terketar-ketar untuk berkata.
“Kenapa awak buat macam ni?” Empangan mata Aisyah sudah pecah.
Fairuz seakan baru tersedar. Ya Allah, apa yang aku buat ni!!
*****
“Apa ni Fairuz? Kenapa kau buat kami macam ni?” Rumah mewah itu sudah bergema dengan suara lantang milik Datuk Rashid.
“Maafkan Fairuz papa. Fairuz tak dapat berfikir dengan betul pa”, ucap Fairuz menundukkan wajahnya. Kesalnya datang bertimpa-timpa. Dia tidak sepatutnya merancangkan semua ini.
“Tak guna kau kesal Fairuz. Bukan ini caranya kau nak miliki seorang perempuan. Mana iman kau? Mana akal kau masa tu Fairuz? Kami didik kau menjadi manusia yang berguna. Apa, kau tak boleh fikir mana baik dan mana jahat?”, jerkah Datuk Rashid makin berapi. Ya Allah, tenangkanlah hati ini. Doa Datuk Rashid cuba beristighfar.
“Da…datuk…saya…”
“Saya nak Fairuz bertanggungjawab pada awak. Maruah seorang perempuan sangat tinggi nilainya” potong Datuk Rashid dengan suara yang tegas.
Aisyah yang mendengar meraung jadinya. Dia menangis tersedu sedan. Hidupnya sudahlah yatim piatu. Kepada siapa dia harus mengadu.
“Sabarlah nak. Kami tahu Aisyah tak bersalah” Datin Hasma cuba menenangkan Aisyah. Dia tahu Asiyah tidak bersalah. Semuanya salah Fairuz.
“Syah, maafkan saya Syah”, pohon Fairuz dengan mata mula berair. Makin terguris hatinya melihat air jernih Aisyah mengalir. Dia tidak mahu perempuan yang disayang bersedih.
“Aku benci kau!!”, jerit Aisyah menangis teresak-esak di bahu Datin Hasma.
Aku benci kau!!! Jerit Aisyah dalam hati.

BAB 4

“Sabarlah Syah. Aku yakin kau mampu jadi seorang isteri yang baik. Aku tahu kau tak bersalah. Sudahlah, jangan sedih lagi”, pujuk Zura mengusap belakang Aisyah.
“Zura, Zarif macam mana? Aku…” Aisyah tidak dapat berkata-kata lagi apabila air jernih mula jatuh ke pipi.
“Syhhh, biar dia tenangkan diri dulu. Kau kena redha Syah. Kau bertuah sebab Datuk Rashid dengan Datin Hasma boleh terima kau. Memang salah Fairuz. Dia tak sepatutnya buat rancangan macam ni” Zura menyeka air mata sahabatnya.
“Aku benci dia, Zura. Benci sangat”, tutur Aisyah dengan bibir diketap kuat. Melihat seraut wajah itu membuatkan bencinya makin menggunung.
“Dah, dah. Banyakkan bersabar. Ada banyak hikmah kalau kita bersabar” Zura tidak putus-putus memberi semangat buat sahabat baiknya.
“Zura, aku rindukan arwah mak ayah aku” Tangisannya makin menjadi-jadi.
“Syhhh, sabar Aisyah. Aku tahu kau kuat. Kau kena kuat Syah”, pujuk Zura memeluk Aisyah.
“Aisyah….”, sapa satu suara.
Aisyah mendongak memandang Datin Hasma. Kemudian menundukkan kembali wajahnya. Zura memberi ruang untuk Datin Hasma.
“Pandang mama, sayang”, tutur Datin Hasma lembut.
Makin sayu hati Aisyah mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Datin Hasma. Lambat-lambat dia memandang Datin Hasma.
“Mama tahu Aisyah tak bersalah. Mama minta maaf bagi pihak Fairuz”
“Mama…”, tuturnya sepatah. pelukannya makin erat. Tersedu-sedan dia menangis di bahu Datin Hasma.
“Dah, jangan nangis lagi. Habis make up ni. Mama nak Aisyah tahu, mama dengan papa tidak sesekali salahkan Aisyah. Jangan nangis lagi sayang”, pujuk Datin Hasma lembut. Wajah Aisyah yang lencun dengan air mata, disekanya penuh kelembutan.
Mama….bisik hati kecilnya…
*****
“Assalammualaikum”
Aisyah diam. Tidak langsung menjawab salam mahupun memandang wajah Fairuz.
“Aisyah, boleh kita bincang kejap”, pinta Fairuz tenang.
“Aku sibuk. Tak ada masa nak bincang-bincang” Tegas sekali dia bersuara.
“Saya minta maaf Aisyah”, ucap Fairuz perlahan.
Aisyah tetap kaku di sofa. Dia terus-terusan menatap novel di tangan. Biarlah dia tidak fokus pada pembacaan. Asalkan tidak memandang wajah Fairuz.
“Aisyah…”
“Kau ni kenapa? Aku penatlah nak dengar kau cakap. Kau boleh diam tak?”, marah Aisyah tidak langsung memandang Fairuz.
Fairuz mengeluh perlahan. “Saya sayangkan Aisyah. Saya buat semua ni sebab saya betul-betul cintakan Aisyah”, jelas Fairuz sayu. Anak rambut yang jatuh di dahi dikuak ke belakang.
Aisyah ketawa sinis. “Kalau cinta, kau takkan buat rancangan gila tu. Kau tahu tak, aku menyesal kenal kau. Aku menyesal jadi isteri kau. menyesal!”, jerit Aisyah bingkas bangun. Novel di tangan terus dicampak ke permaidani. Dia menutup muka dengan kedua-dua tapak tangan. Tidak lama kemudian, kedengaran suara tangisan.
Fairuz yang mendengar makin terasa sakit hati. Ya, hatinya perit melihat isterinya menangis kesedihan. Fairuz buntu. Perlahan-lahan dia menyentuh bahu Aisyah. Sepantas kilat juga Aisyah menepis.
“Jangan sentuh aku! Setiap sentuhan kau berbisa bagi aku!” Aisyah bingkas bangun. Dia mencapai beg baju. Dia harus keluar dari rumah ini. Dia tidak mahu hidup bersama Fairuz.
“Aisyah nak pergi mana ni? Please, jangan buat macam ni”
“Aku nak kau ceraikan aku!”, jerit Aisyah lantang.
Fairuz tersentak. “Aisyah tahu tak apa hukumnya cakap macam ni? Saya takkan ceraikan awak. Tidak sama sekali” Fairuz mula bertegas.
“Aku benci kau. Aku tak nak hidup dengan kau”, bidas Aisyah mengesat air matanya dengan kasar.
“Fairuz, Aisyah, kenapa ni? Aisyah nak pergi mana ni?”, celah Datin Hasma yang sudah berada di muka pintu. Begitu juga dengan Datuk Rashid.
“Kalau Aisyah tak nak tengok saya sekalipun, biar saya saja yang keluar. Saya tak izinkan Aisyah keluar dari rumah ni”, balas Fairuz terus berlalu. Biarlah dia mengalah. Fairuz mengeluh kecil.
“Aisyah…”, panggil Datin Hasma merapati Aisyah.
“Mama…” Aisyah sudah memeluk Datin Hasma.
Datuk Rashid menepuk-nepuk bahu Aisyah. “Sabar Aisyah. Mungkin Fairuz miliki Aisyah dengan cara yang salah. Tapi, papa dengan mama takkan salahkan Aisyah. Sabarlah nak”, pujuk Datuk Rashid tenang.
“Aisyah benci dia…”, ucapnya penuh kebencian.

BAB 5

“Maafkan Aisyah Rif”, ucap Aisyah agak kekok. Walaupun Tasik Titiwangsa dalam keadaan tenang. Namun, hatinya tidak setenang seperti keadaan Tasik ini. Dia gelisah biarpun angin petang yang bertiup boleh menenteramkan jiwa. Namun, jiwanya tidak langsung tenteram biarpun dihembus angin lembut.
“Tak guna Aisyah minta maaf pada Rif. Tapi, Rif tak sangka Aisyah semurah…”
“Rif, tergamak tuduh Aisyah sehina itu”, potong Aisyah laju. Dia mula mahu menangis. Namun, dia masih bertahan lagi.
“Habis tu apa? Tak murah ke bila seorang perempuan ditangkap khalwat? Rif ingatkan Aisyah mulia. Tapi, tak sangka…”
Kolam mata Aisyah mula digernangi air jernih.
“Buat apa Aisyah nak menangis lagi? Nak meraih simpati dari Rif pula? Sudahlah Aisyah. Tak ada gunanya lagi. Rif pun tak nak memperisterikan perempuan semurah…”
PANGG!!!
Terketar-ketar tangan Aisyah menampar lelaki yang amat dicintai dan disayangi sepenuh jiwa. Hati lelaki Zarif makin terbakar diperlakukan sebegitu. Hatinya mendongkol geram. Sebaik saja tangannya mahu membalas, ada tangan yang menghalang.
Aisyah tersentak. Fairuz? Macam mana dia boleh tahu aku kat sini?
“Jangan sesekali kau naik tangan pada perempuan. Maruah seorang perempuan diangkat tinggi”, tegur Fairuz dengan matanya tajam membalas pandangan Zarif.
Zarif yang mendengar terus ketawa sinis. “Perempuan semurah ni kau anggap ada maruah? Hei, buka sikit minda kau. Dia ni pergunakan kau saja. Dia kahwin dengan kau sebab harta saja. Nasib baik aku tak kahwin dengan perempuan semurah ni”, bidas Zarif sinis.
Aisyah hampir pitam mendengar pengakuan dari Zarif. Tidak sangka lelaki yang dia sayang dan cinta tergamak menghinanya sebegitu sekali. Dia terus-terusan menangis.
“Dia mulia pada pandangan aku. Maruahnya tinggi bagi aku”, balas Fairuz tenang.
“Lantak kaulah. Jangan sampai harta kau dia kikis sudahlah. Pandai betul kau berlakonkan Aisyah. Depan aku, pijak semut pun tak mati. Tapi, belakang aku, kau tangkap ikan besar rupanya. Silaplah kau, Aisyah. Aku takkan terpedaya dengan kau”, balas Zarif terus melangkah pergi.
Tangisan Aisyah makin nyaring. Fairuz beristighfar panjang. Ya Allah, akulah yang bersalah. Akulah yang buat maruah isteriku dipandang hina oleh lelaki itu. Ampunkanlah dosaku Ya Allah. Aku betul-betul menyesal. Fairuz meraup wajahnya berkali-kali.
“Aisyah…”, bisik Fairuz perlahan. Tubuh Aisyah ditarik ke dalam pelukan.
“Saya sedih…”, ujarnya dalam keadaan teresak-esak.
Fairuz turut sayu. Air matanya menitis. Bahu Aisyah diusap perlahan. “Saya minta maaf Aisyah. Saya salah Aisyah. Maafkan saya Aisyah. Ampunkan dosa saya Aisyah. Saya tahu, saya bukan lelaki yang baik untuk awak Aisyah. Saya betul-betul sayangkan awak Aisyah”, jelas Fairuz turut menangis.
Aisyah tersentak. Fairuz menangis? Benarkah apa pengakuan Fairuz jujur?
“Ampunkan saya Aisyah. Saya tak kisah kalau Aisyah bencikan saya. Tapi, tolong jangan minta berpisah. Saya tak sanggup Aisyah. Saya nak tulang rusuk kiri saya yang hilang tu Aisyah. Hanya awak yang layak. Kalau awak tak puas hati, saya sanggup melutu Aisyah. Saya betul-betul sayangkan awak Aisyah. Maruah awak tinggi pada saya Aisyah. Tolong maafkan saya, Aisyah”, pinta Fairuz meleraikan pelukan. Tangan isterinya dicapai lalu dikucup berkali-kali. Dia sudah teresak-esak.
Air mata Aisyah kembali mengalir. Ya Allah, kalau benarlah dia lelaki yang terbaik untukku, KAU kekalkanlah Ya Allah. Doanya dalam hati.

BAB 6

DUA BULAN KEMUDIAN,
Kepada,
Isteriku…

C – Cintaku
A – Adalah agung
D – Detikan masa yang bergerak tanpa hentinya
B – buat isteriku
U – ukuran cintamu tinggi nilainya
R – rinduku tiada hentinya padamu
Y – yang terindah hanyalah dirimu

(CINTAKU ADALAH AGUNG, ibarat DETIKAN MASA YANG BERGERAK TANPA HENTINYA. BUAT ISTERIKU, UKURAN CINTAMU TINGGI NILAINYA PADAKU. Makin hati ini terusik dengan RINDUKU TIADA HENTINYA PADAMU. Ketahuilah, YANG TERINDAH HANYALAH DIRIMU, kekasihku, isteriku dan sahabatku…)

Maaf andai cara memiliki cintamu salah,
Maaf andai suamimu ini terlalu sakitkan hatimu,
Maaf andainya suamimu terlalu pentingkan diri,
Namun….
Cinta ini, Rindu ini, dan Kasih ini….
Hanya buat isteriku….Aisyah.
Ku merindu,
Merindu cinta yang tulus dari hatimu,
Selalu ku impikan hidup bersamamu,
Ku kan selalu menanti balasan cintamu…
Daripada,
Suamimu…
Aisyah memeluk kad ucapan yang diberikan oleh suaminya. Dia mengalihkan pula ke arah cadbury yang dihadiahkan oleh suaminya. Air mata kegembiraannya menitis juga akhirnya.
Ooh Soley Soley
Soley Soley
Soley Soley
Ooh Soley Soley (Soley-ley)
Soley Soley (Soley-ley)
Soley Soley
Telefon bimbitnya memanggil-manggil untuk diangkat. Tertera nama ‘suamiku’. Aisyah tersenyum bahagia.
“Assalammualaikum sayang”
“Waalaikummussalam”, balas Aisyah sudah mula merah mukanya.
“Kenapa suara sayang macam orang nak menangis je? Sayang menangis ke? Tak naklah sedih-sedih. Abang ada buat salah ke?” Fairuz sudah menggelabah. Dia tidak mahu isterinya menangis lagi. Sudah dua bulan dia dan Aisyah menjalani kehidupan sebagai suami isteri yang sebenar-benarnya. Sungguh, dia sayangkan Aisyah.
“Taklah. Aisyah terharu je. terima kasih abang”, ucap Aisyah sudah melebar senyumannya.
“Tunggu abang balik tau”
“Okey, Aisyah tunggu”, balas Aisyah sudah berkembang bunga-bunga cinta. Sebaik saja membalas salam suaminya, Aisyah merenung skrin telefon. Gambar Fairuz diusapnya berkali-kali. Dia tersenyum sendirian.
“Ehemm, boleh mama masuk?”
Aisyah tersentak. “Eh, masuklah mama. Dengan Aisyah pun mama nak minta izin ke?”, seloroh Aisyah sudah ketawa kecil.
“Hmm, dapat coklat nampak. Siapa bagi tu? Boleh mama tahu?”, usik Datin Hasma sudah tersengih-sengih.
“Mama, Abang Fairuz memang anak manja ke?”, tanya Aisyah sudah tersipu malu.
Terangkat kening Datin Hasma. “Hmmm, kenapa? Dah jatuh cinta ke?”, usik Datin Hasma lagi.
“Amboi, borak tak ajak papa eak. Boleh ke papa masuk bilik ni? Nanti menganggu pulak”, celah Datuk Rashid sudah muncul di muka pintu.
“Sibuk je abang ni. Orang nak bermesra dengan menantu pun tak boleh. Abang pergilah tengok ikan-ikan abang tu”, balas Datin Hasma mengundang ketawa Aisyah.
“Ala, tak best lah cakap dengan ikan. Dahlah Fairuz tak ada. Tak tahu nak borak dengan siapa. Has pula, selalu je borak dengan Aisyah. Mana adil macam tu. Abang pun nak juga” Sudah seperti keanak-anakkan pula perangai Datuk Rashid.
“Duduklah papa. Tak mengganggu pun”, tukas Aisyah sudah ketawa kecil.
“Hah, kita sambung balik. Fairuz memang macam tu. Maklumlah, anak tunggal katakan. Tapi, mama suka Aisyah jadi menantu mama. Walaupun cara Fairuz tu salah, tapi, dia dapatkan menantu yang baik macam Aisyah. Kalau Aisyah kenal Fairuz betul-betul, dia memang seorang suami yang baik”, jelas Datin Hasma dengan wajah yang berseri-seri menceritakan perihal anak kesayangannya.
Datuk Rashid sudah menggeleng kepala berkali-kali. “Mama kamu memang macam ni. Sayangkan anaklah katakan”, sampuk Datuk Rashid ketawa besar.
“Eh, mestilah. Sembilan bulan tu Has mengandung tahu tak. Nanti, Aisyah akan rasa betapa sayangnya kasih seorang ibu pada anak”, balas Datin Hasma tersenyum lebar.
Aisyah mengangguk laju. Ya, dia pun akan jadi ibu juga satu hari nanti. Insyaallah, sama ada lambat atau cepat DIA nak berikan. Aisyah tersenyum panjang.
*****
“Sayang tengok apa tu?” Fairuz menghampiri isterinya.
“Tengok langit”, balas Aisyah bersahaja.
“Ada apa pada langit tu? Muka abang ke?”, bisik Fairuz lalu merangkul tubuh Aisyah. Angin malam yang bertiup menenangkan jiwanya.
“Abang”, panggil Aisyah perlahan. Dia meleraikan pelukan lalu mengalih menghadap Fairuz. Wajah suaminya ditatap penuh kasih.
“Aisyah nak minta maaf sebab berkasar dengan abang. Aisyah…”
“Syyhhh, tak perlu dikenang perkara yang lepas. Sekarang ni, perjalanan kita masih lagi panjang. Cuma, abang nak sayang tahu yang abang memang benar-benar cintakan sayang”, luah Fairuz penuh makna.
“Aisyah pun sayangkan abang juga. Terima kasih sebab terima Aisyah seadanya”
“Sama-sama kasih. Abang nak cinta kita macam cadbury. Sentiasa manis sampai bila-bila. Hanya Aisyah seorang saja isteri abang”, bisik Fairuz tersenyum nipis.
Ya Allah, kekalkanlah kebahagiaan aku dan suamiku…
“Abang harap sayang dapat jadi isteri yang solehah. Tahu tak, isteri solehah adalah bidadari rumahtangga tahu tak?” Fairuz mengusap pipi Aisyah dengan penuh kasih sayang.
Aisyah mengangguk lalu memeluk erat suaminya.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda :

“Wanita yang taat akan suaminya semua burung-burung diudara, ikan-ikan di air, malaikat di langit, matahari dan bulan semua beristighfar baginya selama mana ia (isteri) masih taat pada suaminya dan diredhai (serta menjaga sembahyang dan puasanya).”

Ketahuilah:Cerpen nie glamour kt penulisan2u dan 8,700 kali dibaca ...