Kebanyakan lelaki berkata mereka tidak faham apa
sebenarnya yang dimahukan oleh wanita yang cemburu. Menurut mereka, walau apa
sekalipun yang mereka buat, isteri mereka yang cemburu tetap juga cemburu.
Ditinjau daripada satu sudut, cemburu ialah manifestasi hilangnya rasa selamat
dari dalam hati si pencemburu. Hilangnya rasa selamat bukan hanya menimbulkan
cemburu, tetapi juga menghilangkan rasa kepuasan.
Menurut pakar-pakar pikologi perhubungan, bagi
seseorang wanita, apabila dia berkahwin, dia mendapat kepuasan daripada dua
sumber. Sumber kepuasan wanita yang pertama ialah tingkah-laku suaminya
kepadanya. Dalam erti kata yang lain, dia mendapat kepuasan daripada cara-cara
suaminya melayan dirinya. Setiap kali suaminya melayan dia dengan cara yang
positif, maka wanita berasa sangat puas. Sebagai contoh, perbuatan membantu
isteri membasuh pinggan lepas makan adalah tingkah-laku positif. Setiap kali si
suami membasuh pinggan selepas makan, maka si isteri berasa sangat puas. Ini
bermakna, untuk memuaskan hati isteri, lelaki digalakkan membuat banyak
perkara-perkara yang positif.
Sumber kepuasan wanita yang kedua datang daripada
makna yang diberikan olehnya ke atas tingkah-laku suaminya. Mana-mana perbuatan
lelaki yang diberi makna dan nilai tinggi oleh wanita mecipta rasa kepuasan
yang tinggi kepada wanita. Hasilnya, setiap kali seseorang suami melakukan
perbuatan-perbuatan begitu, maka isterinya berasa sangat puas. Sebagai contoh,
perbuatan lelaki memuji masakan isterinya diberi makna dan yang tinggi oleh si
isteri. Setiap kali seseorang suami memuji masakan isterinya, maka isterinya
berasa sangat puas. Ini bermakna lelaki perlu mengetahui pelbagai tingkah-laku
suami yang diberi makna dan nilai tinggi oleh isterinya, dan mereka digalakkan banyak
menunjukkan tingkah-laku jenis itu kepada isteri.
Suami-suami melakukan berbagai-bagai perkara.
Setiap perkara yang dilakukannya diberi makna dan nilai oleh isterinya. Apabila
perkara itu diberi nilai tinggi, setiap kali si suami melakukan perkara itu ke
atas diri si isteri, maka si isteri mengecapi rasa puas yang sangat tinggi.
Begitu juga yang sebaliknya. Setiap kali suami melakukan perkara-perkara yang
diberi nilai rendah oleh isterinya, maka si isteri akan berasa amat tidak puas.
Sebagai contoh, perbuatan balik lambat diberi nilai yang amat rendah oleh
wanita, maka setiap kali lelaki balik lambat, isterinya akan berasa amat tidak
puas.
Tetapi lelaki ingin tahu, bagaimanakah wanita
memberikan nilai tinggi ataupun nilai rendah ke atas perbuatan dan tingkah-laku
suami? Beginilah cara wanita memberikan makna dan nilai ke atas tingkah-laku
suami mereka. Sebahagian daripada apa yang dilakukan oleh lelaki, mereka hanya
melakukan perkara itu dengan isteri sahaja. Sebahagiannya pula mereka tidak
pernah melakukannya dengan isteri. Manakala ada pula perkara-perkara yang
mereka lakukan baik dengan isteri mahupun dengan orang-orang lain. Berikut
ialah kriteria yang digunakan oleh wanita untuk memberikan nilai tinggi ataupun
rendah ke atas tiap-tiap tingkah-laku suami :
1. Eksklusif dengan isteri
Bagi wanita, tingkah-laku suaminya yang bersifat eksklusif,
iaitu ia hanya dilakukan oleh si suami dengan si isteri seorang sahaja, diberi
nilai yang amat tinggi oleh wanita. Contoh perbuatan eksklusif yang dilakukan
oleh lelaki dengan isterinya sahaja ialah seks. Jadi, semua tingkah-laku
seksual si suami diberi nilai yang sangat tinggi oleh isteri selagi
tingkah-laku seksual itu hanya dilakukan oleh si suami dengan si isteri sahaja.
Tingkah-laku seksual termasuklah semua perbuatan yang mengiringi nafsu seks,
dengan persetubuhan sebagai perbuatan yang paling tinggi nilainya. Itulah
sebabnya setiap kali suaminya melakukan perbuatan-perbuatan seksual ke atas si
isteri, maka si isteri mengecapi kepuasan yang sangat tinggi.
Kajian pakar-pakar mendapati lain-lain perbuatan
lelaki yang dianggap eksklusif oleh wanita ialah :
· · a. Bercakap-cakap
dan berbual-bual mesra lama-lama
Ramai lelaki menyangka
mereka boleh melakukan perbuatan ini dengan wanita-wanita yang menjadi
rakan-rakan rapat mereka dan lelaki menganggap perbuatan itu tidak patut
menimbulkan rasa curiga di hati isteri mereka. Tetapi, bagi wanita perbuatan
ini hanya boleh dilakukan oleh lelaki dengan isterinya sahaja, tidak boleh
dengan mana-mana wanita lain. Itulah sebabnya wanita berasa cemburu yang kuat
apabila suaminya menghabiskan waktu yang panjang bercakap-cakap dan
berbual-bual mesra dengan wanita lain, tanpa mengira siapa wanita itu kepada
suaminya.
b. Usik-mengusik,
bergurau senda dan bergelak ketawa
Bagi wanita perbuatan
ini juga hanya boleh dilakukan oleh lelaki dengan isterinya sahaja, tidak boleh
dengan mana-mana wanita lain. Itulah sebabnya perbuatan ini juga menimbulkan
perasaan cemburu yang amat kuat di hati wanita.
c. Mencurahkan
masalah peribadi
Bagi wanita, suaminya
tidak patut mencurahkan perasaan dan masalah peribadinya kepada wanita lain kecuali
dirinya. Oleh yang demikian perbuatan ini juga menimbulkan perasaan cemburu
yang amat kuat.
Apabila lelaki melakukan tingkah-laku yang
sepatutnya sangat eksklusif itu dengan wanita lain, nilai tingkah-laku itu
jatuh menjunam-junam di mata si isteri. Kepada si isteri, kini tingkah-laku itu
tidak lagi membawa makna dan kepuasan yang sama seperti dulu. Itulah sebabnya,
sebarang tingkah-laku seksual suaminya yang menyebabkan perbuatan itu kini
tidak lagi ekslusif dengan dirinya seorang, ia menimbulkan reaksi cemburu yang
sangat kuat daripada isteri.
2. Eksklusif tanpa isteri
Lelaki juga melakukan pelbagai perkara dengan
orang-orang lain tetapi tidak pernah dengan isterinya. Sebagai contoh, lelaki
tidak bermain bola dengan isterinya. Tingkah-laku suami yang tidak pernah
dibuat dengan isterinya diberikan nilai yang rendah oleh si isteri. Jadi,
perbuatan suaminya bermain bola dengan lelaki-lelaki lain tidak menimbulkan
cemburu isterinya.
3. Inklusif
Ada kalanya lelaki melakukan perbuatan-perbuatan
baik dengan isterinya, mahupun dengan orang-orang lain. Sebagai contoh ialah
perbuatan makan. Perbuatan makan dilakukan oleh lelaki baik dengan isterinya
dan juga dengan orang-orang lain. Perbuatan jenis ini diberi nilai yang
sederhana tingginya. Setiap kali si suami makan bersama isterinya, si isteri
berasa sederhana puas. Jadi perbuatan suaminya duduk makan semeja dengan
rakan-rakan wanita sekerjanya menimbulkan reaksi cemburu yang sederhana
kuatnya.
Inilah asas kepada rasa kepuasan seorang isteri.
Apabila tingkah-laku yang dulu eksklusif dengan dirinya, kini dilakukan juga
oleh suaminya dengan wanita lain, maka nilai tingkah-laku itu turun, ataupun
hilang sama sekali. Akibatnya, tingkah-laku suaminya itu tidak lagi memberi
kepuasan kepadanya. Sebagai contoh, jikalau suaminya menciumnya, dia berasa
sangat puas kerana perbuatan itu adalah eksklusif. Apabila suaminya juga
mencium wanita lain, dia akan berasa sangat cemburu. Akibatnya, apabila
suaminya mencium dia, ciuman suaminya itu tidak lagi memuaskannya.
Itulah sebabnya, setelah seseorang lelaki
berkahwin lain, seks yang serupa tidak lagi memberi kepuasan yang serupa kepada
isteri tuanya. Malah ia mungkin tidak memberikan apa-apa kepuasan lagi
kepadanya, kerana kini seks bukan lagi tingkah-laku suaminya yang eksklusif
dengan dirinya seorang. Kini suaminya juga melakukan tingkah-laku seksual itu
dengan wanita lain. Inilah faktor yang membuat nafsu seks isteri tua menurun
ataupun hilang sama sekali apabila dia mengetahui bahawa suaminya melakukan
hubungan seks dengan mana-mana wanita lain. Jadi, walaupun seseorang lelaki
masih memberikan seks yang serupa kepada isterinya, si isteri tidak lagi
mengecapi nikmat yang sama, kerana kini nilai tingkah-laku seksual suaminya
sudah turun amat rendah, ataupun hapus sama sekali.
Tetapi apakah faktor yang sebenarnya menurunkan
ataupun menghapuskan nilai tingkah-laku si suami?
1. Perubahan tafsiran
Nilai itu turun kerana setelah suaminya melakukan
seks dengan wanita lain, kini si isteri memberikan tafsiran yang berbeza kepada
semua tingkah-laku suaminya. Perubahan tafsiran itulah yang menurunkan nilai
tersebut.
Kalau dulu si suami membelikan kain batik untuk si
isteri dan pemberian itu ditafsirkan oleh si isteri sebagai "Tanda kasih
suaminya kepada dirinya", tetapi setelah suaminya kahwin lain, kini si
isteri mengatakan "Dia belikan kain batik sebab dia hendak menutup rasa
bersalahnya." Tafsiran seperti itulah yang menyebabkan si isteri tidak
lagi mendapat kepuasan yang sama daripada kain batik itu.
2. Perubahan penilaian
Kepuasan wanita juga hilang disebabkan cara-cara
bagaimana dia kini menilai hubungannya dengan suaminya. Nilai itu berubah
apabila dia tahu bahawa suaminya mempunyai hubungan dengan wanita lain. Dulu si
isteri berasa puas dengan apa yang dinikmati dalam perkahwinannya. Dulu dia
puas kerana sebelum suaminya curang kepadanya, dia menilai mutu hubungannya
tanpa membandingkan dengan hubungan lain. Kini, dia percaya hubungan suaminya
dengan dirinya tidak sebaik hubungan suaminya dengan wanita lain itu. Akibat
perbandingan itu, si isteri percaya dia tidak menikmati hubungan yang sebaik
apa yang dinikmati oleh suaminya dengan wanita tersebut. Dia percaya kini
suaminya menikmati lebih banyak kepuasan dengan wanita itu, manakala dia
sendiri berasa dia tidak sepuas suaminya. Dia juga percaya suaminya tidak
berapa puas dengan dirinya dan suaminya lebih puas dengan wanita itu.
3. Ramalan negatif
Dengan persepsi seperti itu, si isteri yakin
suaminya akan melabur lebih banyak ke dalam hubungannya dengan wanita lain itu.
Malah dia percaya ada kemungkinan suaminya akan meninggalkan dirinya sama
sekali. Itulah sebabnya kini dia tidak lagi menikmati rasa puas dengan
hubungannya dengan suaminya, walaupun suaminya masih memberikan layanan yang
sama seperti dulu.
4. Perubahan persepsi
Rasa tidak puas juga datang daripada persepsinya
bahawa kini kasih sayang suaminya sudah berkurangan, walaupun suaminya beria-ia
mengatakan itu tidak benar. Rasa tidak puas hati itu datang daripada perasaan
bahawa dirinya kini sudah tersisih dan terkeluar daripada sebahagian aktiviti
suaminya. Dalam lain perkataan, dia kini tahu bahawa ada kalanya suaminya
melakukan aktiviti-aktiviti di mana dia tidak diberi tempat sama sekali,
seperti apabila suaminya berada bersama-sama dengan wanita lain itu.
Dia juga juga membayangkan bahawa di dalam
aktiviti-aktiviti tertentu, suaminya mendapat lebih banyak keseronokan apabila
aktiviti itu dilakukan bersama wanita itu. Seterusnya, dia juga tidak puas hati
lagi dengan apa-apa yang diterima daripada suaminya kerana kini perkara-perkara
itu tidak lagi eksklusif baginya seorang.
No comments:
Post a Comment