I made this widget at MyFlashFetish.com.

Saturday, May 19, 2012

MEMILIH PASANGAN HIDUP


TITIK TOLAK KEBAHAGIAAN RUMAHTANGGA


Perkahwinan adalah satu ikatan suci yang memperhubungkan antara lelaki dan wanita. Impian kita terhadap ikatan ini ialah agar ia akan terus kekal hingga ke akhir hayat. Selain daripada itu, kita juga mengharapkan agar perkahwinan itu sentiasa aman damai, bahagia dan agar darinya dikurniakan oleh Allah s.w.t.  dengan anak yang soleh, cerdik, cerdas seterusnya menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Tidak ada siapapun manusia di dunia ini yang menginginkan agar perkahwinannya porak-peranda atau mengharap agar dikurniakan anak yang jahat tingkah lakunya, bodoh akal fikirannya dan menjadi pengkhianat kepada agama dan negara. Cuba kita bertanya kepada ibubapa yang mempunyai seorang anak yang ketagihan dadah:
"Adakah ketika anak pak cik ini masih kecil, memang pak cik sentiasa berharap agar dia menjadi seperti sekarang apabila dewasa kelak ?"
Bagaimanakah cara untuk menjamah hakikat kebahagiaan rumahtangga yang diidam-idamkan dan melempar jauh kengerian-kengerian kehancuran rumahtangga? Jawapannya ada di tangan kita sendiri....

Dan perkataan kita di sini terbahagi kepada dua, iaitu: 

1) Diri kita sendiri yang perlu ada sifat-sifat yang boleh digolongkan sebagai mampu membahagiakan isteri dan menitiskan zuriat yang soleh dan solehah.

2) Kebijaksanaan kita dalam mencari pasangan hidup yang akan menjanjikan kebahagiaan berumahtangga, melahirkan serta mendidik anak-anak agar menjadi insan yang sempurna.
Sebenarnya dua perkara ini merupakan inti, sari atau ibu dari sabdaan-sabdaan Rasulullah s.a.w., firman-firman Allah s.w.t.  dan pendapat-pendapat dari para ulamak mengenai keharmonian dan kerukunan keluarga. Dua perkara ini juga merupakan rahsia dan titik tolak untuk mencapai impian tersebut.
Kerana jika bukan kita, siapa lagi yang akan memberi segala impian yang diharap-harapkan dalam kehidupan berumahtangga? Adakah orang lain selain dari kita mampu melaksanakan perkara ini? Sudah tentu tidak.


MENCARI JODOH

Jodoh pertemuan telah ditentukan oleh Allah s.w.t. , namun kita sebagai manusia diperintahkan agar berusaha, berikhtiar dan berdoa supaya di kurniakan oleh Allah s.w.t.  dengan pasangan yang baik dan solehah. Setelah usaha dilakukan dengan bersungguh-sungguh barulah menyerahkan perkara tersebut kepada Allah s.w.t., terpulang kepadaNya samada mahu diperkenankan ataupun sebaliknya.

Bukan sedikit dari kalangan masyarakat kita yang hanya menunggu-nunggu ketentuan dan ketetapan dari Allah s.w.t.  tanpa disertakan dengan usaha dan ikhtiar. Mereka ini samalah dengan manusia yang hanya menunggu-nunggu rezeki datang bergolek atau terbang melayang di hadapan mata tanpa di sertakan dengan usaha dan ikhtiar.
Manakala mereka yang sibuk berusaha mencari jodoh pula tidak kurang juga yang melakukan pelbagai kesilapan. Bukan hanya dari sudut agama tetapi kemanusiaan dan kemasyarakatan. Baik dari pihak lelaki mahupun perempuan.
Pihak lelaki lebih cenderung memilih calon isteri yang mempunyai rupa paras yang menarik, pandai bergaya dan bersolek ketika berada di luar rumah, lincah gerak lakunya, luas pergaulannya, berpemikiran moden atau tidak kekampungan dan sebagainya. Perempuan yang berhijab atau bertudung menutup aurat dan kuat beribadat dianggap kuno dan amat memalukan. Yang tidak tahu keluar rumah untuk bekerja atau bersosial yang tidak ada manfaatnya dari sudut agama dipandang sebagai gadis pingitan yang tidak punya tempat di mata masyarakat hari ini.  Dan yang sentiasa melakukan tindakan berlandaskan al-Quran dan al-Hadis dikatakan ingin kembali ke zaman unta.
Manakala pihak perempuan pula tidak kurang hebatnya, calon suami mestilah yang berharta, berpangkat, punya kedudukan dan nama, berkelulusan tinggi, segak bergaya dengan pakaian yang mahal-mahal dan kalau boleh mempunyai kenderaan yang semewah mungkin.

Mereka lebih mengutamakan nafsu mereka terhadap matabenda dunia dan membelakangkan agama. Dengan ini, mereka samada sedar ataupun tidak, telah menjerumuskan rumahtangga yang akan dibina ke arah kehancuran. Sekalipun tidak hancur ia akan sentiasa diburu oleh kegelisahan dan ketidakselesaan hidup. Dan apabila manusia berebut-rebut mengutamakan kebendaan dan membelakangkan agama, maka nantikanlah wujudnya sebuah genarasi yang dua atau tiga kali ganda tidak mengenal Allah s.w.t. dan RasulullahNya. 


KESAN MELETAKKAN HARTA SEBAGAI SYARAT UTAMA

Pemilihan jodoh dengan meletakkan material sebagai nombor wahid dan agama sebagai angka yang terakhir akan mengakibatkan beberapa perkara yang tragis, iaitu:

1- Menyebarluaskan lagi penyembahan material di kalangan masyarakat Islam kerana material telah dianggap sebagai lambang kebahagiaan walaupun hanya palsu semata-mata. Manakala agama pula dianggap ketinggalan zaman. Bahkan lebih dahsyat dari itu, agama dianggap sebagai puaka yang amat menakutkan dan menyeramkan. Akal fikiran mereka sentiasa dihantui dengan anggapan bahawa apabila menjadi isteri kepada lelaki yang kuat agamanya, nescaya dirinya akan terkongkong dalam lingkungan yang amat sempit sekali. Tidak boleh berhias, bergaya, bekerja dan bergiat dalam segenap lapangan. Tugasnya hanya di dapur, melahirkan dan mendidik anak-anak. Sebenarnya ini hanyalah momokan yang mereka cipta sendiri.....
Dari pengaduan-pengaduan yang saya dengar dan melalui pengamatan terhadap masyarakat yang melingkungi saya, saya mendapati bukan sedikit dari kalangan wanita-wanita Islam yang menganggap bahawa mendidik dan memelihara anak adalah satu bebanan. Mereka lebih rela bekerja seberat mana sekalipun dari menjaga dan mendidik anak-anak. Perasaan kasih sayang sepenuh hati dan sifat keibuan telah ditarik oleh Allah s.w.t.  dari sebahagian wanita-wanita Islam. Lihat saja! Bagaimana kes membuang anak begitu berleluasa terjadi di negara kita ini.
2- Akan menjejaskan institusi kekeluargaan sesebuah masyarakat. Penceraian mula meningkat dari hari ke hari. Di samping itu terlalu banyak rumahtangga yang sedang menanti giliran untuk runtuh.
Akibat membelakangkan akhlak ketika memilih calon, maka si isteri atau si suami menanggung derita perpanjangan. Mutakhir ini, bukan hanya suami dari kalangan orang-orang awam bahkan tokoh masyarakat, ahli politik dan pak menteri telah terjebak dengan beberapa kegiatan yang kurang sihat. Judi, rasuah, perzinaan dan sebagainya. Mengadakan hubungan dengan pelacur sudah menjadi suatu yang lumrah bagi suami-suami yang tidak beragama. Yang berpendapatan rendah akan pergi kepada pelacur-pelacur kelas bawahan. Manakala yang bergaji lumayan dan punya kedudukan yang tinggi akan menyimpan sekurang-kurangnya seorang wanita.
Si isteri pula, lebih terdedah kepada perangkap lelaki-lelaki hidung belang. Samada di majlis-majlis sosial atau di tempat kerja. Isteri orang-orang awam yang terperangkap akan dipujuk rayu di mana kesudahannya berlakulah perzinaan yang dilaknat Allah s.w.t.
Manakala isteri orang-orang berada atau ternama akan menyimpan lelaki tersebut dengan diberi habuan berupa wang atau kemudahan yang bukan sedikit nilai ringgitnya.
Antara alasan-alasan yang sering diberikan oleh isteri-isteri ini ialah mereka sering ditinggalkan oleh suami kerana urusan perniagaan, mereka tidak mendapat kepuasan seks bersama suami atau sebagainya. Namun bagi saya semuanya itu adalah alasan yang terlalu rapuh dan tidak boleh dipakai samasekali. Pada hakikatnya, kerana mereka ini telah membelakangkan agama. Seandainya orang yang beragama mengalami masalah yang sama sudah pasti mereka tidak memilih jalan dosa dan noda ini.
Sebagai contoh ialah sebuah kisah, pernah terjadi peristiwa di mana si isteri tidak mendapat kepuasan seks dari suaminya. Ramai teman-teman yang menasihati si suami agar berusaha mengatasi masalah ini samada bertemu doktor, berurut secara tradisional atau sebagainya. Namun si suami berdegil tidak mahu menurut nasihat teman-temannya. Jiwa si isteri pula  terus memberontak inginkan kepuasan seks.
Apabila dilihat tidak ada perubahan, si isteri mula memilih caranya sendiri untuk mengatasi masalah yang sedang dihadapinya. Dia mula mencari lelaki lain agar dapat mengisi kekosongan jiwanya. Akhirnya beberapa orang lelaki telah menidurinya termasuklah seorang rakan karib suaminya sendiri.
Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga, begitulah dengan nasib si isteri di mana akhirnya perbuatannya itu diketahui oleh si suami. Malu bukan kepalang kerana rupanya perkara itu sudah lama menjadi buah mulut masyarakat keliling. Maka dia menceraikan isterinya. Mereka berpisah....
Apa yang dapat kita lihat pada masalah di atas, pengkhianatan terhadap suami dengan melakukan zina bersama lelaki lain adalah disebabkan oleh kurangnya agama  isteri lelaki itu. Dia menyelesaikan masalah tidak mendapat kepuasan seks dengan cara yang benar-benar keji dan menjijikkan.
Sebaliknya, seandainya isteri lelaki itu merupakan seorang yang beriman dan kuat agamanya sudah tentu dia akan menyelesaikannya dengan jalan yang baik dan diredhai oleh Allah s.w.t.  Berkemungkinan jika peringkat pertama, kedua dan ketiga tidak mampu mengatasi masalah ini, mereka akan bertemu kadhi untuk minta penyelesaian. Jika jalan buntu yang ditemui juga sudah tentu talak adalah cara yang terbaik.
Cuba kita perhatikan sekali lagi, natijah dari dua jalan penyelesaian yang berbeza terhadap masalah di atas adalah sama sahaja, iaitu berakhir dengan perceraian. Jika dia menyelesaikan masalah itu dengan cara mengadakan hubungan seks haram bersama lelaki lain, kemudian diketahui oleh suaminya maka dia akan diceraikan. Dan begitu juga jika dia menyelesaikannya dengan jalan yang ditunjukki oleh syariat, akhirnya dia diceraikan juga. Jika begitu mengapa memilih jalan yang kotor dan menjijikkan? Bukankah lebih baik jika dia menyelesaikannya dengan cara yang kedua? Kerana kehormatan diri dan keluarganya akan terpelihara.
3- Melahirkan keturunan yang rosak moral dan kurang agamanya. Kerana ibubapa yang baik akan mendidik anaknya ke arah kebaikan. Sebaliknya, ibubapa yang kurang agama akan mendidik anaknya ke arah yang tidak dikehendaki oleh Islam, walaupun menurut kacamatanya ia adalah kebaikan. Bahkan berkemungkinan anak tersebut akan dua kali ganda lebih buruk agamanya dari ibubapanya sendiri.
Sejak kebelakangan ini, gejala keruntuhan moral telah menjadi satu topik yang sangat hangat diperkatakan, dari golongan bawahan hinggalah ke peringkat ulamak dan tokoh politik. Semakin banyak mereka memperkatakan tentang keruntuhan moral seolah-olah ia semakin menjadi-jadi dan bertambah buruk. Tidak membawa perubahan langsung.
Penagihan dadah, kegiatan seks bebas, melawan ibubapa dan guru, mencuri dan seribu satu macam penyakit sosial lagi sedang menyerang anak-anak remaja kita yang baru berusia 13, 14 atau 15 tahun.
Bila kita lihat kepada usia, kita dapati mereka ini terlalu muda untuk didedahkan kepada perhubungan seks dan pengetahuan mengenainya. Tetapi apa yang berlaku sekarang ini, mereka sudah jauh lebih matang tentang perhubungan seks. Bukan setakat itu sahaja, bahkan mereka sudahpun berkali-kali atau seringkali melakukan hubungan seks dengan beberapa orang lelaki. Masalah kehamilan dari hubungan seks secara haram ini sudah tidak menjadi masalah bagi mereka. Kebanyakkan wanita-wanita remaja ini sentiasa membawa kondom atau pil pencegah hamil ke mana sahaja mereka pergi. Ia boleh diperolehi dengan bebas dan mudah di kedai-kedai. Bahkan menurut kajian, pasangan perempuanlah yang lebih banyak menyediakan alat cegah hamil bagi mengelak risiko kehamilan yang sudah tentu lebih banyak dibebankan kepada mereka berbanding dengan pasangan lelaki.
Selain dari beberapa faktor yang menjadi tulang belakang berlakunya keruntuhan moral sebegitu buruk sekali dalam masyarakat kita, ibubapa juga telah digembar-gemburkan sebagai faktor nombor wahid.
Pernah terjadi di salah sebuah negeri di Malaysia, satu serbuan telah dibuat oleh pihak yang berkuasa dalam usaha membenteras kegiatan maksiat yang berleluasa. Salah satu pasangan yang tertangkap adalah pasangan remaja yang masih lagi di bangku sekolah. Ketika pasangan perempuan dihantar pulang ke rumah ibubapanya, telah berlaku satu peristiwa yang memang tidak di duga. Di mana ibu perempuan tersebut telah memarahi pihak berkuasa yang menghantar anaknya itu. Ibunya berkata:
"Apa encik susah, kalau anak saya mengandungpun, saya akan dapat cucu!"
Percayakah pembaca sekelian, bahawa seorang ibu atau bapa yang hidup sentiasa membelakangkan agama mampu menarik 10 atau 20, bahkan 100 orang remaja lain yang baik tetapi tidak mempunyai ketahanan diri (iman) yang kukuh ke arah keruntuhan moral yang dikeji oleh syarak, samada keruntuhan itu dinilai sebagai sesuatu yang baik oleh masyarakat ataupun tidak.  Di mana anak-anak dari pasangan ini sudah tentu tidak akan mendapat didikan yang sempurna menurut kacamata Islam. Mereka ini akan menjadi seperti parasit yang membawa wabak ke mana sahaja mereka pergi.... Siapa yang bersahabat dengannya sudah tentu akan menerima akibatnya. Paling kurangpun akan terkena percikan-percikan dari kekotoran rendah akhlaknya. Jika anak ini bersahabat dengan 10 orang, maka kesepuluh-sepuluhnya akan menerima percikan akhlak kejinya.. Begitulah seterusnya.


MEMILIH CALON ISTERI

Saya telah mengutip dari beberapa kitab dalam mazhab Syafi'i yang menyenaraikan sifat-sifat seorang wanita yang baik untuk dijadikan isteri. Sifat-sifat atau ciri-ciri tersebut ialah:


1. Beragama 
2. Dari keturunan baik-baik 
3. Cantik rupa paras 
4. Tidak dari kaum kerabat yang hampir 
5. Anak dara 
6. Banyak anak 
7. Berakal 
8. Berakhlak mulia 
9. Tidak mempunyai anak dari lelaki lain 
10. Yang murah mas kahwinnya 

PERTAMA: Beragama
Maksud beragama di sini ialah taat kepada Allah s.w.t., melakukan amalan-amalan yang soleh dan menjauhi perkara-perkara yang diharamkan.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda : 
Ertinya: Dikahwini perempuan itu kerana empat perkara iaitu kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya, maka carilah yang beragama, jika tidak binasalah engkau. 
(Riwayat Bukhari dan Muslim) 


Pilihan untuk wanita terhadap lelaki pula, Rasulullah s.a.w. telah bersabda : 
Ertinya: Apabila datang orang melamarmu, orang yang baik yang kamu sukai agama dan budi pekertinya, maka kahwinlah, jika tidak tentulah akan menjadi fitnah di atas muka bumi dan kerosakkan yang luas. 


MENGENAL PEREMPUAN YANG BERAGAMA

Menurut syeikh Idris al-Marbawi di dalam kitab Bahrul Mazi, ciri-ciri yang ada pada seorang perempuan yang beragama ialah :


1. Diasuh dengan ajaran agama 
2. Mengenali Allah s.w.t.  dan kekuasaanNya 
3. Mengenali Rasulullah s.a.w. 
4. Mempercayai setiap firman Allah s.w.t.  dan setiap sabdaan Rasulullah s.a.w. 
5. Sifat dan perangainya bertepatan dengan perintah syarak dan menjauhkan diri dari larangannya. 
6. Tidak mempamerkan atau memperlihatkan diri kepada lelaki yang ajnabi. 
7. Memelihara mulutnya dari mengucapkan kata-kata lucah dan cabul. 
8. Tidak berperangai dengan perangai perempuan jalanan dan tidak bermaruah.


Tidak dapat disangsikan lagi bahawa faktor agama mestilah diletakkan pada tingkat pertama dalam memilih calon isteri. Kerana wanita yang kuat agamanya mampu memelihara kesucian diri dan maruahnya.  Firman Allah s.w.t. : 
Ertinya: Wanita-wanita yang solehah itu ialah wanita-wanita yang taat kepada suami-suami dan menjaga (kehormatan diri mereka) di waktu suami-suami mereka tidak ada, dengan cara yang diwajibkan Allah. (Surah al-Nisaa': 34)

Sebaliknya, wanita yang kurang agama sememangnya tidak dapat disangkal lagi, bahawa dia amat mudah terjebak ke dalam perangkap dan tipu daya syaitan. Dia tidak boleh dipercayai di dalam perkara :

1) Memelihara farajnya. 
2) memelihara harta benda suami.


Dan, yang paling membahayakan sekali jika terdapat gandingan sifat-sifat di bawah ini pada seseorang perempuan
1) Rosak agamanya 
2) Cantik rupa parasnya

Atau:

1) Rosak agamanya 
2) Cantik rupa parasnya 
3) Banyak hartanya

Memang benarlah sabdaan Rasulullah s.a.w. seperti yang tertera di atas, bahawa barangsiapa yang memilih isteri dengan membelakangkan faktor agama nescaya dia akan menerima kebinasaan, "..maka carilah yang beragama, jika tidak binasalah engkau."
Membelakangkan agama juga akan menyebabkan bumi ini akan ditimpa fitnah dan kerosakkan. Mengapa tidak, apabila institusi kekeluargaan di dalam sesebuah negara telah punah, maka akan lahirlah masyarakat yang hidup berkudakan hawa nafsu. Peratus anak yang tidak mendapat kasih sayang yang sempurna dari ibubapa mereka yang akan ditimpa dengan penyakit sosial adalah tinggi.

Sabda Rasulullah s.a.w.: 

"Apabila datang orang melamarmu, orang yang baik yang kamu sukai agama dan budi pekertinya, maka kahwinlah, jika tidak tentulah akan menjadi fitnah di atas muka bumi dan kerosakkan yang luas."

Rasulullah s.a.w. telah mengajar umat Islam bahawa negara yang aman damai bermula dari keluarga yang sejahtera. Manakala keluarga yang bahagia pula perlu dibentuk sejak dari memilih pasangan lagi.


SYAIR IQBAL TENTANG WANITA

Perhatikanlah kata-kata Allamah Muhamad Iqbal di dalam petikan syairnya yang bertajuk Rahsia-rahsia Kelenyapan Diri . Betapa jeleknya seorang wanita tanpa agama:


Ambillah pula tubuh yang lampai, berdada pipih, berbaju ketat,

Kerling matanya mempesonakan,
Fikirannya gilang-gemilang dengan cahaya tamadun Barat;
Zahirnya berupa wanita,
Batinnya bukan wanita!
Dia telah memusnahkan tali-tali ikatan yang memelihara
Umat murni kita menjadi selamat sejahtera;
Kecantikannya yang suci telah terburai semua dan ditumpahkan.
Lancang matanya, kebebasannya membangkit kemarahan,
Dia samasekali tak tahu malu.
Ilmunya tak cukup buat menanggung beban keibuan
Dan di senjakala dan malam harinya, tak sebijipun
bintang berpendar!
Lebih baiklah andainya kuntum mawar ini tak pernah tumbuh
di tamansari kita.
Lebih baiklah perempuan jenisnya disapu bersih dari kalangan umat ini.



PERANAN WANITA YANG BERAGAMA

Sejarah yang tidak pernah membohongi kita telah membuktikan bahwa setinggi mana sekalipun kejayaan yang diraih oleh seorang lelaki pasti di sisinya ada seorang wanita yang berperanan besar dalam menggapai impiannya itu. Sebagai contoh imam Syafi'i, kejayaannya dalam menimba ilmu pengetahuan bermula dari ibunya yang amat bijak dan mengerti tentang apa yang diperlukan untuk kejayaan cemerlang anaknya. Imam Syafi'i tidak dibiarkan tinggal di Palestin setelah kewafatan suaminya, tetapi dibawa ke Mekah. Ibunya mengerti bahawa Mekah menjanjikan sesuatu yang lebih baik daripada bumi Palestin. Kerana Mekah ketika itu masih terdapat ramai alim ulamak dan cerdik pandai. Di samping itu juga bahasa Arab penduduk Mekah belum tercemar lagi. Dan lebih menguatkan lagi ialah Mekah adalah bumi nenek moyang Imam Syafi'i. Faktor-faktor inilah yang menyebabkan ibu beliau nampak dengan jelas bahawa kejayaan  beliau adalah bermula dari Mekah.

Ibu Syeikh Abdul Kadir al-Jailani di dalam hikayatnya yang begitu masyhur sekali, di mana beliau telah mengajar anaknya supaya jangan berbohong walau dalam keadaan apa sekalipun. Ajaran dan pesanan ibunya telah ditaati oleh syeikh Abdul Kadir al-Jailani. Ketika beliau ditangkap dan ditanya oleh ketua penyamun mengenai wangnya, beliau tetap berkata benar. Dengan kehendak Allah s.w.t., sifatnya yang tidak tahu berdusta itu menyebabkan ketua penyamun bertaubat dan terus mengabdikan diri kepadaNya.

Seorang ahli bijak pandai pernah berkata: 

"Tangan ibu yang menghayun buaian mampu menggoncangkan dunia ini."



MENAWARKAN ANAK KEPADA LELAKI SOLEH

Disunatkan bagi wali menawarkan anak perempuannya kepada orang yang soleh sebagaimana yang telah dilakukan oleh nabi Syuaib a.s. kepada Nabi Musa a.s., saidina Umar al-Khattab  r.a. kepada saidina Abu Bakar r.a. dan saidina Usman r.a.



WANITA MENAWARKAN DIRINYA KEPADA LELAKI SOLEH

Seorang wanita juga diharuskan menawarkan dirinya kepada seorang lelaki yang diyakini kesolehannya. Islam tidak memandang bahawa perkara ini sebagai sesuatu yang salah atau sumbang, bahkan ianya digalakkan dan perempuan tersebut akan mendapat pahala seandai tujuannya ingin mencari keredhaan dari Allah s.w.t.

Perkara ini ada disebutkan pada suatu hadis Rasulullah s.a.w. di dalam kitab Sahih al-Bukhari, di mana seorang wanita telah datang menawarkan dirinya kepada Rasulullah s.a.w. Anak perempuan Anas yang ada ketika itu telah mengeji perbuatan wanita itu. Mendengar perkataan anaknya itu, lalu Anas menjawab: "Dia lebih baik daripada kamu. Dia mengkehendakki Rasulullah s.a.w. kerana itulah dia menawarkan dirinya untuk dikahwini oleh Baginda s.a.w."

Syeikh Muhamad Qutb di dalam kitabnya Tuhfatul Arus Wal Aris  menyimpulkan tiga perkara dari kejadian yang berlaku di dalam hadis di atas: 
1) Adab yang timbul dari perasaan malu yang ditunjukkan oleh perempuan itu ketika menawarkan dirinya kepada Rasulullah s.a.w. Perempuan itu hanya mengatakan: "Apakah engkau inginkan diriku?", tidak berkata: "Aku ingin dinikahi oleh engkau wahai Rasulullah s.a.w.."

2) Sikap yang diambil oleh wanita itu adalah benar yang tidak boleh dipersalahkan kerana ianya jauh dari berlawanan dengan syariat Islam yang suci.
Bukti tentang kebenaran sikapnya ialah apabila Rasulullah s.a.w. sebagai sumber rujukan syariat hanya diam membisu tanpa mencelanya. Dan diperkuatkan lagi dengan jawapan Anas terhadap celaan anaknya dengan memuji sikap wanita tersebut yang membuktikan kecintaannya terhadap Rasulullah s.a.w.
3) Rasulullah s.a.w. sebagai insan yang paling sempurna akhlaknya hanya mengambil sikap membisu terhadap tawaran wanita itu sebagai tanda penolakan. Ini adalah diplomasi dari Baginda supaya perasaan wanita tersebut tidak terguris. Kerana penolakan dengan perkataan dalam keadaan ini hanya akan membuatkan perempuan itu malu atau sebagainya.


KEDUA: Dari keturunan baik-baik
Maksud dari keturunan orang baik-baik ialah perempuan yang diketahui berketurunan ulamak atau orang-orang soleh .


Rasulullah s.a.w. bersabda : 
Ertinya: Dikahwini perempuan itu kerana empat perkara iaitu kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya, maka carilah yang beragama, jika tidak binasalah engkau. (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Islam menggalakkan seorang lelaki agar berkahwin dengan perempuan dari keturunan alim ulamak dan orang-orang soleh. Kerana orang-orang soleh akan mengasuh dan mendidik anaknya kepada kebaikan. 


HUKUM MENGAHWINI ANAK HARAM

Adalah dimakruhkan mengahwini anak haram (anak zina), anak orang fasik, anak pungut atau anak yang tidak diketahui ibubapanya .


KETIGA: Cantik
Iaitu perempuan yang mempunyai rupa paras yang memberi keinginan kepada lelaki. Imam al-Ghazali menyatakan , iaitu kecantikan yang dapat menarik kemesraan dan kasih sayang.


Sabda Rasulullah s.a.w. : 
Ertinya: Sebaik-baik wanita ialah, apabila engkau melihatnya dia menyenangkan hatimu...

Atas maksud inilah maka Islam mengharuskan melihat terlebih dahulu seorang wanita yang kahwini . Kerana kecantikan rupa paras dapat mententeramkan jiwa dan mampu memejamkan mata dari melihat perempuan ajnabi.


HUKUM MENGAHWINI PEREMPUAN YANG TERLALU CANTIK

Makruh hukumnya mengahwini seorang perempuan yang terlalu cantik rupa parasnya. Menurut imam al-Mawardi perempuan tersebut akan sombong dengan kecantikan yang dimilikinya .


Menurut imam Ahmad pula: 

"Tidak terlalu cantik (ketika memilih calon isteri) kerana dia kurang tunduk kepadamu ".



KEEMPAT: Tidak dari kaum kerabat yang hampir
Maksud kaum kerabat yang hampir ialah anak perempuan kepada bapa saudara atau emak saudara (sepupu) samada dari pihak ibu atau bapa .


Islam tidak menggalakkan perkahwinan dengan kaum kerabat yang hampir ialah kerana ia telah menyimpangkan dari maksud asal  perkahwinan iaitu memperhubungkan satu puak dengan puak yang lain . Di samping itu lemah syahwat tehadap pasangannya itu . 


PERKAHWINAN RASULULLAH S.A.W. DENGAN SEPUPUNYA ZAINAB

Salah seorang isteri Rasulullah s.a.w. ialah Zainab binti Jahsy. Beliau merupakan kaum kerabat Rasulullah s.a.w. yang hampir (sepupu). Namun perkahwinan ini bukanlah menunjukkan bahawa mengahwini kerabat yang hampir adalah afdhal. Tetapi kerana mahu menyatakan hukum, iaitu halal mengahwini bekas isteri anak angkat (janda anak angkat).



PERKAHWINAN SAIDINA ALI DENGAN FATIMAH BINTI RASULULLAH S.A.W .

Mengenai perkahwinan ini pula, saidina Ali dan Saiyidah Fatimah al-Zahra' hanya memang diakui mempunyai hubungan kerabat tetapi dianggap kerabat yang jauh. Di mana Saiyidah Fatimana al-Zahra merupakan anak perempuan kepada sepupu saidina Ali.



KELIMA: Anak dara
Sabda Rasulullah s.a.w. kepada Jabir r.a. yang telah menikahi seorang perempuan janda: 
Ertinya: Mengapa engkau tidak mengahwini anak dara supaya engkau dapat bergurau senda dengannya dan dia dapat bergurau senda dengan engkau.(Riwayat jamaah)


Terdapat beberapa sebab mengapa Islam menganjurkan agar umatnya mengahwini anak dara, antaranya ialah: 
1) Manis dan lemah-lembut tutur katanya 
2) Banyak anak 
3) Redha dengan sedikit jimak 
4) Jauh dari sifat-sifat kejahatan


Sabda Rasulullah s.a.w. dalam perbualannya dengan Saiyidah Aisyah r.a.: 
Ertinya: Wahai Rasulullah s.a.w., seandainya engkau tiba di sebuah lembah, dan di lembah itu terdapat tanaman yang sudah dimakan dan terdapat pula tanaman lain uang belum pernah dimakan, di manakah engkan akan menggembalakan unta engkau? Rasulullah s.a.w. menjawab: "Di tempat yang belum pernah digembalai orang." Saiyidah Aisyah r.a. berkata: "Akulah tempat itu."


Di dalam hadis di atas, Saiyidah Aisyah r.a. ingin menyatakan keutamaan dirinya kerana beliaulah satu-satunya gadis yang pernah dikahwini oleh Rasulullah s.a.w. 
Sabda Rasulullah s.a.w. lagi: 
Ertinya: Kahwinilah anak dara kerana sesungguhnya mereka itu manis mulutnya,, ramai melahirkan anak  tidak banyak kerenahnya dan redha dengan kerja yang lebih ringan dan mudah.



HUKUM MENGAHWINI JANDA

Seorang lelaki dimakruhkan berkahwin dengan seorang janda melainkan jika mempunyai keuzuran seperti tidak berkemampuan untuk memecahkan dara disebabkan oleh lemah zakar. Seseorang itu disunatkan mengahwinkan anak perempuannya dengan lelaki yang belum pernah berkahwin .



KEENAM: Ramai anak
Seorang lelaki boleh mengetahui bahawa perempuan itu akan mempunyai ramai anak dengan melihat kepada kaum kerabatnya. Jika kaum kerabatnya mempunyai ramai anak, maka insyaallah perempuan itu juga akan mempunyai ramai anak .


Sabda Rasulullah s.a.w.: 
Ertinya: Berkahwinlah dengan wanita yang penyayang dan ramai anak. (Riwayat Abu Daud dan Nasi'i dari Ma'qil bin Yasar)



KETUJUH: Tidak mempunyai anak dari lelaki lain
Disunatkan mengahwini perempuan yang tidak mempunyai anak dari lelaki lain, kecuali jika terdapat maslahat seperti kerana mahu memelihara anak perempuan tersebut .

Rasulullah s.a.w. sendiri telah mengahwini Ummu Salamah yang ketika itu telahpun mempunyai anak. Tetapi Rasulullah s.a.w. mengahwini Ummu Salamah kerana maslahat .


KELAPAN: Berakal
Iaitu seorang perempuan yang bijak dan pintar dalam menguruskan segala hal ehwal rumahtangga. Dia bijak membelanjakan wang dan harta suaminya agar tidak berlaku pembaziran dalam berbelanja, pintar melayan kehendak suami hingga menyebabkannya tidak pernah jemu dan bosan. Dia menggunakan kebijaksanaannya untuk menjadikan rumahtangganya aman bahagia dan diredhai oleh Allah s.w.t.



KESEMBILAN: Berakhlak mulia
Mengahwini perempuan yang berakhlak mulia akan membantu suaminya melakukan ibadah dan mendirikan hukum-hakam agama .



JAUHI PEREMPUAN INI!

Sebahagian daripada ulamak Arab telah berkata: 
Janganlah kamu mengahwini perempuan yang mempunyai enam sifat di bawah ini :

1· Perempuan yang sentiasa keluh-kesah dan mengadu mengenai dirinya itu dan ini. Di samping itu juga dia gemar menghiasi dirinya agar kelihatan cantik. Dalam perkahwinan, perempuan ini akan menyakitkan hati dan tidak akan memperoleh sebarang kebajikan darinya.
2· Perempuan yang suka mengungkit-ngungkit setiap kebaikan yang telah dilakukan terhadap suami. Katanya kepada suami: "Aku telah melakukan kebaikan begini dan begitu kepada engkau tetapi engkau tidak pernah melakukan suatu apapun kebaikan padaku."
3· Ingin kepada lelaki lain dan ingin kepada anak dari suaminya yang lain. Perempuan yang bersifat begini wajib dijauhi daripada dikahwini.
4· Perempuan yang materialistik. Dia mahu membebankan suami dengan menyuruhnya membelikan untuknya itu dan ini.

5· Perempuan yang mempunyai dua sifat, iaitu: 
i- Perempuan yang gemar bersolek agar dirinya kelihatan cantik dan bergaya. Kemudian dia keluar ke sana sini untuk memperaga kecantikannya.

ii- Perempuan yang cerewet terhadap makanan dan tidak makan kecuali bersendirian. Ditambah pula dengan sikapnya yang tidak pernah merasa cukup terhadap pemberian suami.
6· Perempuan yang banyak cakap atau becok mulutnya.


SIFAT YANG BAIK UNTUK PEREMPUAN DAN SEBALIKNYA BAGI LELAKI

Menurut saidina Ali r.a. pula : 
Terdapat tiga sifat yang tidak baik seandai ada pada seorang lelaki, tetapi ia adalah paling seandainya ada pada seorang perempuan, iaitu:

1. Bakhil atau kedekut, kerana apabila seorang perempuan bersifat demikian akan terpeliharalah harta suaminya .
2. Membesar diri, kerana apabila seorang perempuan itu membesar diri maka dia tidak akan bercakap-cakap dengan seseorang menggunakan kata-kata yang lemah lembut. Dengan ini terpeliharalah perasaan cemburu suaminya.
3. Penakut, kerana apabila seorang perempuan itu bersifat penakut maka dia tidak akan keluar dari rumahnya. Dengan ini sifat cemburu suaminya dapat dikawal.


KESEPULUH: Murah mas kahwinnya
Sabda Rasulullah s.a.w.: 
Ertinya: Daripada Aisyah r.a., bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda: Sebesar-besar keberkatan manusia itu ialah yang murah maharnya.



BEBERAPA MASALAH YANG TIMBUL KETIKA MEMILIH CALON ISTERI

Jika seorang lelaki menghadapi masalah ketika memilih calon isteri kerana sebahagian sifat-sifat calon yang baik ada pada seorang perempuan dan sebahagiannya pula terdapat pada perempuan lain. Maka hendaklah dia mendahulukan atau mengutamakan perempuan yang beragama kemudian yang berakal dan berakhlak baik, kemudian dari baka yang ramai anak, kemudian dari keturunan baik-baik, kemudian yang masih anak dara, kemudian yang cantik rupa parasnya dan akhir sekali ialah yang ada maslahat untuk kebaikan dirinya.

Contoh 1:
Perempuan a: Beragama tetapi kurang berakal
Perempuan b: Berakal tetapi kurang agamanya
Hendaklah memilih perempuan a.
Contoh 2:
Perempuan c: Kurang agamanya, tidak dari baka ramai anak tetapi berakal dan baik akhlaknya
Perempuan d: Kurang agamanya, kurang barakal tetapi dari baka ramai anak dan mempunyai akhlak yang mulia.
Hendaklah dia mendahulukan perempuan c.
Contoh 3:
Perempuan e: Hanya mempunyai satu sifat sahaja, iaitu dari baka ramai anak.
Perempuan f: Hanya mempunyai satu sifat sahaja, iaitu dari keturunan baik-baik.
Hendaklah mendahulukan perempuan e.
Contoh 4:
Perempuan g: Hanya satu sifat sahaja iaitu anak dara.
Perempuan h: Hanya satu sifat juga iaitu cantik rupa parasnya.

Hendaklah memilih perempuan g. 


BERISTIKHARAH SEBELUM MEMINANG

Setelah menemui wanita yang mempunyai ciri-ciri yang dikehendakki oleh syarak, seorang lelaki disunatkan mengerjakan sembahyang Istikharah sebelum masuk meminang. Ini bertujuan untuk memohon petunjuk dari Allah s.w.t.  agar pilihan yang dibuatnya itu di arahkah kepada kebaikan .


Sabda Rasulullah s.a.w.: 

"Rahsiakanlah niatmu hendak meminang. Ambillah wudhuk dengan cara sebaik-baiknya kemudian sembahyanglah sebagaimana yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu. Pohonkanlah puji syukur kepadaNya dan agungkanlah Dia, lalu ucapkanlah: Ya Allah, Engkau Maha Kuasa sedangkan aku tidak mengetahui. Engkau Maha mengetahui segala yang ghaib. Jika Engkau memandang pada diri si fulanah terdapat kebajikan bagiku, bagi agamaku, bagi dunia dan akhiratku, takdirkanlah dia bagiku." (Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan al-Hakim dari Abu Ayub)

Al-Hakim mengatakan bahawa sunah ini biasa dilakukan oleh penduduk Mesir.


CIRI-CIRI WANITA SOLEHAH

Tidak banyak syarat yang dikenakan oleh Islam untuk seseorang wanita untuk menerima gelaran solehah, dan seterusnya menerima habua syurga yang penuh kenikmatan dari Allah s.w.t. . Mereka hanya perlu memenuhi 2 syarat sahaja, iaitu:


1. Taat kepada Allah dan RasulNya 
2. Taat kepada suami

Perincian dari dua syarat di atas adalah sebagai berikut:

1- Taat kepada Allah dan RasulNya 
Bagaimana yang dikatakan taat kepada Allah s.w.t. ?


i) Mencintai Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. melebihi dari segala-galanya. 
ii) Wajib menutup aurat 
iii) Tidak berhias dan berperangai seperti wanita jahiliah 
iv) Tidak bermusafir atau bersama dengan lelaki ajnabi kecuali ada bersamanya mahramnya. 
v) Sering membantu lelaki dalam perkara kebenaran, kebajikan dan takwa 
vi) Berbuat baik kepada dua ibubapa 
vii) Sentiasa bersedekah samada dalam keadaan susah ataupun senang 
viii) Tidak berkhalwat dengan lelaki ajnabi 
ix) Bersikap baik terhadap jiran tetangga 

2. Taat kepada suami

i) Memelihara kewajipan terhadap suami 
ii) Sentiasa menyenangkan suami 
iii) Menjaga kehormatan diri dan harta suaminya semasa suami tiada di rumah. 
iv) Tidak cemberut di hadapan suami. 
v) Tidak menolak ajakan suami untuk tidur 
vi) Tidak keluar tanpa izin suami. 
vii) Tidak meninggikan suara melebihi suara suami 
viii) Tidak membantah suaminya dalam kebenaran 
ix) Tidak menerima tamu yang dibenci suaminya. 
x) Sentiasa memelihara diri, kebersihan fizikal dan kecantikannya serta kebersihan rumahtangga.



FAKTOR YANG MERENDAHKAN MARTABAT WANITA

Apabila kita melihat bahawa punca rendahnya martabat wanita adalah datangnya dari faktor dalaman. Bukanlah faktor luaran atau yang berbentuk material sebagaiamana yang digembar-gemburkan oleh para pejuang hak-hak palsu wanita. Faktor-faktor tersebut ialah:


1- Lupa mengingati Allah 
Kerana terlalu sibuk dengan tugas dan aktiviti luar atau memelihara anak-anak, maka tidak hairan jika ramai wanita yang tidak menyedari bahawa dirinya telah lalai dari mengingati Allah. Dan saat kelalaian ini pada hakikatnya merupakan saat yang paling berbahaya bagi diri mereka, di mana syaitan akan mengarahkan hawa nafsu agar memainkan peranannya.


Firman Allah s.w.t.  di dalam surah al-Jathiah, ayat 23: 
Ertinya: Maka sudahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmunya. Dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya.


Sabda Rasulullah s.a.w.: 
Ertinya: Tidak sempurna iman seseorang dari kamu, sehingga dia merasa cenderung kepada apa yang telah aku sampaikan. (Riwayat Tarmizi)


Mengingati Allah s.w.t.  bukan sahaja dengan berzikir, tetapi termasuklah menghadiri majlis-majlis ilmu, muzakrah atau sebagainya. 

2- Mudah tertipu dengan keindahan dunia
Keindahan dunia dan keseronokkannya memang banyak menjebak wanita ke perangkapnya. Bukan setakat itu sahaja, malahan syaitan dengan mudah memperalatkannya untuk menarik kaum lelaki agar sama-sama bergelumang dengan dosa dan noda. Bukan sedikit yang sanggup menderhaka kepada Allah s.w.t.  hanya kerana kenikmatan dunia yang terlalu sedikit.

Firman Allah s.w.t.  di dalam surah al-An'am: 
Ertinya: Dan tidaklah penghidupan dunia ini melainkan permainan dan kelalaian dan sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa, oleh kerana itu tidakkah kamu berfikir.


3- Mudah terpedaya dengan syahwat 
4- Lemah iman 
5- Bersikap suka menunjuk-nunjuk.

Wallhu A'lam

Rujukan

1. Al-Quran
2. Ihya' Ulumuddin
3. I'anah al-Thalibin
4. Al-Iqna'






No comments:

Post a Comment